Jumaat, 31 Mei 2019 | 11:34am
PEGAWAI kastam Filipina memeriksa kontena yang mengandungi sampah yang dihantar dari Kanada ke negara itu. - Foto Reuters

Selepas Malaysia, Filipina pula pulang sampah ke negara asal

MANILA : Filipina bertindak memulangkan semula bertan sampah dihantar ke negara itu beberapa tahun lalu dari Kanada hari ini susulan tekanan diplomatik yang menyaksikan kebangkitan negara Asia menolak dari dijadikan gedung pembuangan sampah antarabangsa.

Selepas sekian lama menggesa Kanada mengambil semula sampah itu, Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengecam Ottawa minggu lalu dan mengarahkan semua sampah itu dipulangkan pada kadar segera.

Kesemua 69 kontena sampah itu dimuatkan dalam kapal kargo di Teluk Subay iaitu bekas pangkalan tentera laut Amerika Syarikat (AS) dan pelabuhan kapal di barat laut Manila, sebelum memulakan perjalanan panjang ke Kanada.

“Selamat tinggal,” kata Setiausaha Luar, Teodoro Locsin di Twitter, bersama foto yang menunjukkan kapal itu bergerak meninggalkan pelabuhan.

Menteri Alam Sekitar Kanada, Catherine McKenna mengalu-alukan laporan berhubung pemulangan sampah itu.

“Kami komited bersama Filipina dan bekerjasama rapat dengan mereka,” katanya kepada wartawan semalam.

Beberapa hari lalu, Malaysia mengumumkan akan menghantar semula 450 tan sisa buangan plastik import ke negara asal termasuk Australia, Bangladesh, Kanada, China, Jepun, Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS).

China sebelum ini selama bertahun-tahun menerima sampah plastik dari seluruh dunia namun menutup pintu terhadap negara asing bermula tahun lalu sebagai sebahagian usaha membersihkan alam sekitar mereka. - AFP

Berita Harian X