Sabtu, 22 Jun 2019 | 8:54am
Peningkatan dalam konservatisme adalah ujian besar buat Jokowi dalam pilihan raya April lalu, dengan sesetengah kumpulan Islam menuduhnya anti-Islam, seterusnya memberi sokongan kepada lawan politik termasuk pencabarnya Prabowo Subianto. -Foto Reuters
Peningkatan dalam konservatisme adalah ujian besar buat Jokowi dalam pilihan raya April lalu, dengan sesetengah kumpulan Islam menuduhnya anti-Islam, seterusnya memberi sokongan kepada lawan politik termasuk pencabarnya Prabowo Subianto. -Foto Reuters

Pasca pilihan raya - Indonesia sasar tapis kakitangan awam berfahaman tegar

JAKARTA: Indonesia merancang untuk mengetatkan tapisan terhadap kakitangan kanan awam di tengah kebimbangan ideologi tegar Islam meresap ke peringkat tinggi kerajaan, menurut dokumen diteliti Reuters dan seorang pegawai kanan yang terbabit dalam perancangan itu.

Indonesia secara rasminya berfahaman sekular namun ada peningkatan di kalangan ahli politik yang menuntut peranan Islam lebih besar di negara majoriti Islam itu, dengan sesetengah kumpulan menggesa penubuhan sebuah negara Islamik.

Peningkatan dalam konservatisme adalah ujian besar buat Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dalam pilihan raya April lalu, dengan sesetengah kumpulan Islam menuduhnya anti-Islam, seterusnya memberi sokongan kepada lawan politik termasuk pencabarnya Prabowo Subianto.

Jokowi dipilih semula untuk penggal kedua, namun corak pengundian mendedahkan perpecahan mendalam antara kawasan terkenal sederhana Islam dan rantau konservatif yang menyokong Prabowo.

Pegawai kanan kerajaan yang menjadi sebahagian kumpulan memformulasi dasar baharu tapisan berkata, Jokowi berhasrat menjadi sebahagian warisan untuk memastikan Indonesia kekal sebagai model negara Islam sederhana.

Pegawai itu berkata, Jokowi amat percaya, radikal Islam mengancam sumber negara serta masa depan demokrasi. Rancangan penapisan itu adalah keutamaan besar beliau, kata pegawai yang enggan dikenali.

“Presiden mahu, sebelum pilihan raya akan datang 2024, elemen tegar dan radikal akan disingkirkan untuk menyasar demokrasi lebih sihat,” kata pegawai.

Pejabat Jokowi bagaimanapun tidak menjawab permohonan untuk mengulas.

Menurut dokumen diteliti Reuters, kerajaan mahu memperkenalkan pemeriksaan latar belakang lebih ketat dan ujian psikologi baharu bagi mengukur kecenderungan politik calon, terutama mereka yang berhasrat dinaikkan pangkat ke peringkat lebih tinggi.

Pegawai berkata, pelan itu akan dilaksanakan menjelang akhir tahun di 10 kementerian terbesar negara itu serta syarikat keutamaan milik negara.

Kementerian yang disasarkan sebagai keutamaan termasuk Kewangan, Pertahanan, Kesihatan, Pendidikan, Hal Ehwal Agama dan Kerja Raya.

Syarikat keutamaan termasuk Pertamina, Garuda Indonesia, bank terbesar, BRI, pelombong, Antam dan Timah serta dua syarikat media.

Katanya, kakitangan awam tidak akan dipecat namun dasar baharu mungkin digunakan untuk memastikan individu dengan fahaman tegar dihalang menerima kenaikan pangkat.

Satu daripada faktor yang mendorong dasar baharu itu ialah tinjauan 2017 dijalankan syarikat peninjau bebas berpusat di ibu kota ini, Alvara Research Center yang mendapati, satu daripada lima kakitangan awam dan 10 peratus pekerja syarikat kerajaan tidak bersetuju dengan ideologi negara sekular Pancasila dan sebaliknya cenderung dengan sebuah negara Islam.

“Apa yang kita lihat bukan secara tiba-tiba namun disebabkan benih yang ditabur bertahun lalu menerusi pergerakan kecil yang ketika itu dianggap bukan ancaman kepada negara.

“Selama lebih 10 tahun, idea itu ditoleransi, diterima dan kemungkinan malah digunakan oleh elemen negara,” kata dokumen kerajaan. -Reuters

Berita Harian X