Sabtu, 13 Julai 2019 | 8:55pm
Presiden Indonesia, Joko Widodo (kanan) dan Prabowo Subianto (kiri) ketika mengadakan pertemuan di dalam kereta api MRT di Jakarta, hari ini. Foto EPA

Jokowi, Prabowo bertemu di stesen MRT Jakarta

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dan pencabarnya, Prabowo Subianto yang tewas dalam pilihan raya April lalu, mengadakan pertemuan di sini, hari ini, iaitu yang pertama sejak pemilihan itu berlangsung.

Pertemuan itu diadakan kira-kira dua minggu selepas Prabowo, tewas dalam rayuan yang dikemukakan di mahkamah, bagi membatalkan kemenangan Jokowi dalam pilihan raya presiden berkenaan.

Yang menariknya, lokasi pertemuan pemimpin Indonesia yang dipilih semula itu dan bekas jeneral, adalah di stesen Transit Aliran Massa (MRT) di Jakarta yang mula beroperasi baru-baru ini.

Jokowi dan Prabowo kemudiannya menaiki MRT itu bersama-sama dengan orang ramai.

“Ramai yang bertanya kenapa saya (Prabowo), masih belum menyampaikan ucapan tahniah kepada Jokowi, namun saya masih ada rasa hormat dan mahu menyatakannya secara berdepan.

“Tugas seorang presiden adalah memberi perkhidmatan kepada rakyat dan beliau (presiden) bakal berdepan pelbagai cabaran dan saya sedia memberikan bantuan,” katanya sambil diperhatikan oleh Jokowi.

Sementara itu, Jokowi berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan bekas pencabarnya sebanyak dua kali itu, di dalam kereta api MRT, kerana mengetahui Prabowo tidak pernah menaiki perkhidmatan berkenaan.

“Saya amat gembira dengan perancangan ini (menaiki MRT), kerana saya berpeluang bertemu dengan Prabowo Subianto.

“Jadi, saya harap penyokong kami akan mengikut jejak langkah ini, kerana kami juga adalah rakyat negara ini, dan wakil kepada rakyat.

“Oleh itu, marilah kita kembali bersatu sebagai sebuah negara kerana persaingan pada peringkat global semakin hebat dan kita perlu bersama-sama membangunkan negara ini,” kata Jokowi. - AFP

Berita Harian X