Khamis, 22 Ogos 2019 | 8:28pm
Menteri Perancang Pembangunan, Indonesia, Sofyan Djalil.

Indonesia pilih Kalimantan Timur lokasi ibu negara baharu

JAKARTA: Indonesia bakal membina ibu negara yang baharu di wilayah Kalimantan Timur di pulau Borneo, menurut media yang memetik kenyataan Menteri Perancang Pembangunan, Sofyan Djalil, hari ini.

Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo, minggu lalu secara rasmi mencadangkan kepada Parlimen untuk memindahkan ibu kota dari Jakarta, bandar raya padat didiami 10 juta penduduk ke kawasan lain di Kalimantan.

Bahagian Indonesia di Borneo mempunyai lima wilayah, terkenal dengan hutan hujan, orang utan dan rizab arang batu.

“Ya....Kalimantan Timur, tetapi kami belum dapat pastikan secara khusus lokasi itu,” kata Sofyan yang dipetik akhbar atas talian, Detik.com ketika beliau ditanya sama ada Kalimantan Timur dipilih sebagai lokasi ibu kota baharu.

Sofyan berkata, kerajaan mempunyai 3,000 hektar tanah dalam wilayah itu bagi menjalankan pembangunan pada fasa pertama.

Terdahulu, media membuat spekulasi bahawa Jokowi akan memilih Bukit Soeharto dan bandar Samboja di Kalimantan Timur sebagai pusat pentadbiran baharu negara itu. - Reuters.

Berita Harian X