X
Jumaat, 23 Ogos 2019 | 9:13pm
Gambar fail, ratusan pelarian Rohingya berjalan keluar dari Myanmar menuju Palang Khali berhampiran Cox Bazar, Bangladesh pada November 2017. - Foto REUTERS
Gambar fail, ratusan pelarian Rohingya berjalan keluar dari Myanmar menuju Palang Khali berhampiran Cox Bazar, Bangladesh pada November 2017. - Foto REUTERS

Ada petunjuk pembunuhan beramai-ramai Rohingya - PBB

NEW YORK: Pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati wujud petunjuk tentera Myanmar melaksanakan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya.

Menurut laporan siasatan bebas badan dunia itu, keganasan seks yang dilakukan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan etnik minoriti Muslim itu menunjukkan niat kejam tentera Myanmar.

Majlis Hak Asasi Manusia PBB menubuhkan panel penyiasat bebas itu pada 2017, ia menuduh kerajaan Myanmar gagal mendakwa dan menghukum pelaku bertanggungjawab berdasarkan Konvensyen Pembunuhan Beramai-Ramai.

“Ratusan wanita dan kanak-kanak perempuan Rohingya dirogol dengan 80 peratus kes adalah rogol beramai-ramai berdasarkan maklumat yang diperoleh misi ini.

“Tentera Myanmar bertanggungjawab terhadap 82 peratus kes rogol beramai-ramai ini,” menurut laporan itu.

Dalam satu laporan lain pada Ogos tahun lalu, pasukan penyiasat itu menyenaraikan petunjuk niat melakukan pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Myanmar.

Ia termasuk penggunaan bahawa menghina oleh pegawai kerajaan, ahli politik, pihak berkuasa agama dan komander tentera sebelum, ketika dan selepas keganasan.

Selain itu, kewujudan dasar dan rancangan menindas, rancangan pemusnahan teratur dan kempen operasi tentera yang kejam.

“Kini, misi membuat kesimpulan berdasarkan sebab munasabah bahawa keganasan seks terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, sejak 25 Ogos 2017 adalah faktor keenam bahawa tentera Myanmar berniat memusnahkan penduduk Rohingya,” menurut laporan baharu itu. - Reuters

Berita Harian X