Rabu, 11 September 2019 | 7:04pm
Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya. - ANTARA FOTO

Indonesia dakwa jerebu di Semenanjung Malaysia berasal dari Sarawak

JAKARTA: Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya mendakwa jerebu yang menyelubungi Malaysia berasal dari Sarawak.

“Saya akan menulis surat kepada duta besar Malaysia di Jakarta untuk disampaikan kepada menteri yang berkenaan. Ia bagi mendapatkan fakta yang tepat.

“Pemerintah Indonesia gigih bekerja untuk menyelesaikan isu jerebu dengan sebaik-baiknya. Tidak semua jerebu berasal dari wilayah di Indonesia,” katanya yang dipetik Tempo.co.

Menteri berkenaan turut meminta kerjasama kerajaan Malaysia menyampaikan fakta yang tepat mengenai jerebu itu.

“Ada maklumat yang mereka tidak dedahkan. Sebenarnya jerebu yang menyelubungi Malaysia hingga ke Kuala Lumpur dan Semenanjung Malaysia berasal dari Sarawak dan mungkin sebahagian dari Kalimantan Barat.

“Seharusnya, kerajaan Malaysia mempunyai fakta sebenar untuk menjelaskannya,” katanya.

Siti Nurbaya juga menempelak sikap Singapura yang mendakwa jerebu yang menyelubungi Singapura berasal dari Riau.

“Tidak benar, kerana tompok api di Riau sudah berkurangan. Kita mempunyai 46 buah helikopter sedang bertugas di lokasi kejadian,” katanya. -AGENSI

Berita Harian X