Khamis, 12 September 2019 | 7:06pm
ANTARA lukisan yang menggambarkan Buddha sebagai Ultraman. - Foto Reuters

Puak konservatif tuntut lukisan Ultraman Buddha dimusnah

BANGKOK: Penganut konservatif Buddha di Thailand hari ini menuntut lukisan menggambarkan Buddha sebagai Ultraman dimusnahkan, mencetuskan perbahasan hangat mengenai penggunaan imej suci dalam seni.

Majoriti rakyat negara itu beragama Buddha dan undang-undang menghina agama membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara walaupun pendakwaan jarang dilakukan.

Hasil seni pelajar itu menjadi tular di media sosial minggu lalu selepas dipamerkan dalam pameran selama tiga jam di luar Bangkok.

Artis berkenaan, yang namanya dirahsiakan oleh universiti atas alasan keselamatan, memohon maaf sambil menangis kepada sami kerana empat lukisan itu, sebahagiannya daripadanya berlatar belakangkan logo Louis Vuitton.

Namun kumpulan Buddhist Power of the Land memfailkan aduan kepada polis terhadap pelukis wanita itu dan empat penyokongnya kerana menyinggung perasaan penganut Buddha.

“Terpulang kepada mahkamah tetapi kami mahu lukisan itu dimusnahkan,” kata wakilnya, Jaroon Wannakasin, kepada AFP hari ini.

Ketika meminta maaf, pelajar itu berkata beliau tidak bermaksud menggambarkan Buddha sebagai wira yang melindungi dunia seperti Ultraman, dan logo Louis Vuitton mewakili ‘godaan’ dunia.

Ketika skandal itu menjadi tajuk utama dan rancang bual bicara, seorang pengumpul membeli satu daripada lukisan kontroversi menunjukkan enam Buddha sebagai karektor fiksyen itu menembak laser daripada tapak tangan mereka pada harga 4,500 baht (RM625).

Harganya meningkat mendadak ketika perang lelongan dalam Facebook dan Pakorn Porncheewangkul menjual ia semula pada harga 600,000 baht (RM79,172).

“Gambar ini menyebabkan kontroversi.

“Saya rasa perlu menjualnya semula dan menderma wang itu kepada kebaikan masyarakat,” katanya, menjelaskan 90 peratus wang akan disumbangkan kepada hospital tempatan.

Bakinya akan diberikan kepada pelajar berkenaan sebagai bentuk sokongan.

“Jika tidak, tiada siapa berani menghasilkan hasil seni baharu,” katanya. — AFP

Berita Harian X