Selasa, 17 September 2019 | 7:44pm
Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika meninjau kawasan kebakaran hutan di Pekanbaru, hari ini. Foto AFP
Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika meninjau kawasan kebakaran hutan di Pekanbaru, hari ini. Foto AFP

Indonesia berusaha gigih padam kebakaran: Jokowi

PEKANBARU: Presiden Indonesia, Joko Widodo, berkata negaranya sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan, yang mengakibatkan jerebu toksik melanda Asia Tenggara, menggunakan pesawat, hujan buatan berserta doa.

Ketika ini, kebakaran hutan di kepulauan Borneo dan Sumatra, menyebabkan asap tebal menyelubungi rantau berkenaan, termasuk negara jiran, Malaysia dan Singapura.

Dalam lawatan ke wilayah Riau di Sumatra hari ini, Joko Widodo atau Jokowi berkata, hampir 6,000 tentera sudah dikerah ke kawasan tompok panas untuk memadamkan kebakaran.

“Kami sudah menggunakan pelbagai cara (padam kebakaran).

“Selain anggota bomba memadamkan kebakaran di darat, puluhan pesawat turut digunakan untuk menjalankan pembenihan awan dan menghantar bom air ke kawasan terbabit.

“Kami turut berdoa (kebakaran dapat dipadamkan),” katanya selepas mengunjungi Masjid Amrulloh di sini, hari ini.

Asap bertoksik yang berpunca daripada aktiviti pembakaran hutan secara terbuka bagi pertanian adalah masalah tahunan di Indonesia dan negara jirannya, tetapi ia bertambah buruk tahun ini, berikutan musim kemarau.

Semalam, pihak berkuasa berkata, mereka sudah menahan hampir 200 individu yang disyaki terbabit dengan aktiviti yang mengakibatkan kebakaran tanpa kawalan. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X