Rabu, 18 September 2019 | 4:07pm

Pesawat kargo bawa empat individu terputus hubungan di Papua

TIMIKA (INDONESIA) : Sebuah pesawat kargo yang membawa empat orang terputus hubungan dengan kawalan trafik udara hari ini, kata sumber rasmi, iaitu insiden terbaharu dalam rekod buruk industri penerbangan awam Indonesia.

Pesawat Twin Otter DHC6-400 itu berlepas dari bandar Timika, pada jam 10.30 pagi (waktu tempatan hari ini) dan menuju ke IIaga, satu kawasan pergunungan di bahagian terpencil wilayah Papua serta dijadualkan tiba 50 minit selepas itu.

“Selepas 2.5 jam, tiada sebarang maklumat diterima dari lapangan terbang berhampiran berhubung lokasi pesawat, justeru kami memutuskan untuk mengisytiharkan sudah terputus hubungan,” kata ketua agensi pengangkutan tempatan, Yan Purba kepada Metro TV.

Pesawat berkenaan membawa tiga kru dan seorang penumpang, selain 1.7 tan beras.

Menurut Yan, operasi mencari dan menyelamat sudah digerakkan untuk mengesan kapal terbang itu yang berlepas dalam keadaan cuaca elok.

Indonesia amat bergantung kepada pengangkutan udara untuk menghubungkan beribu kepulauan yang ada namun kawasan pergunungan seperti Papua agar sukar untuk dimasuki.

Negara itu juga memiliki rekod penerbangan awam yang buruk dan ia disukarkan dengan faktor geografi Papua, sebagai sebuah wilayah dengan kawasan pergunungan serta terdedah kepada masalah cuaca.

Pada Jun lalu, sebuah helikopter tentera dengan 12 orang terputus hubungan hanya beberapa minit selepas meninggalkan daerah terpencil Oksibil untuk menuju ke Sentani, juga di Papua.

Bangkai pesawat terbabit masih belum ditemui sehingga hari ini.

Awal tahun 2016, sebuah pesawat kargo membawa bahan binaan terhempas di Ilaga, membunuh kesemua empat individu. - AFP

Berita Harian X