Isnin, 23 September 2019 | 9:08pm
Keadaan di Palu, Indonesia selepas dilanda gempa bumi dan tsunami pada September tahun lalu. Foto Agensi

60,000 penduduk Palu masih tiada tempat tinggal

JAKARTA: Hampir 60,000 penduduk masih tinggal di tempat perlindungan sementara, kira-kira setahun selepas insiden gempa bumi dan tsunami menggegarkan bandar Palu, Indonesia.

Gempa bumi berukuran 7.5 magnitud dan gempa susulan melanda pulau Sulawesi pada September tahun lalu, mengakibatkan lebih 4,300 terkorban dan 170,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Kejadian itu turut menyebabkan keseluruhan kawasan itu mengalami proses kecairan, apabila tanah mula bertukar menjadi cecair dan ditenggelami bumi, seperti pasir jerlus.

Ia turut memusnahkan bot nelayan, kedai dan sistem pengairan, sekali gus memusnahkan sumber pendapatan penduduk tempatan.

Namun, Pertubuhan Palang Merah berkata, setahun kemudian, kira-kira 57,000 masih tinggal di penempatan sementara, kerana tidak mengetahui lokasi pembinaan semula.

“Kami berharap kerajaan akan meningkatkan usaha untuk mengenal pasti kawasan penempatan dan membantu ribuan penduduk untuk membina rumah mereka,” kata ketua Pertubuhan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) pejabat negara Indonesia, Jan Gelfand.

Sabtu ini, menandakan genap setahun sejak bencana berganda itu melanda wilayah Palu.

Terdahulu, Bank Dunia menawarkan pinjaman sebanyak AS$1 bilion (RM4.17 bilion) kepada Indonesia untuk membina semula bandar berkenaan. - AFP

Berita Harian X