Rabu, 25 September 2019 | 6:03pm
Kerajaan Indonesia mendakwa keganasan yang membawa maut di Jayapura dan Wamena, Papua, Isnin lalu, dirancang sebuah pertubuhan antarabangsa bertujuan menarik perhatian dunia ke atas wilayah itu. - Foto EPA

Indonesia tuduh kumpulan antarabangsa punca kekacauan di Papua

JAKARTA: Kerajaan Indonesia mendakwa keganasan yang membawa maut di Jayapura dan Wamena, Papua, Isnin lalu, dirancang sebuah pertubuhan antarabangsa bertujuan menarik perhatian dunia ke atas wilayah itu.

Menurut Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Wiranto kekacauan itu dikawal Jawatankuasa Nasional Papua Barat (KNPB).

Katanya, KNPB mempunyai kaitan dengan Pergerakan Pembebasan Bersatu untuk Papua Barat (ULMWP) yang diketuai seorang penduduk Papua dalam buangan di Britain, Benny Wenda.

“Pergerakan pembebasan Papua seolah-olah menunjukkan kewujudannya dengan provokasi terhadap penduduk supaya melakukan anarki yang hanya membahayakan diri mereka sendiri,” kata Wiranto.

Katanya, motif kumpulan itu adalah untuk memerangkap pasukan keselamatan supaya melakukan salah laku hak asasi manusia terhadap penunjuk perasaan.

Kemudian, tokoh pemisah akan membangkitkan isu itu dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sedang berlangsung di New York.

Jurucakap polis, Brigadier Jeneral Dedi Prasetyo berkata, rusuhan berlaku di ibu wilayah Jayawijaya, Wamena, Isnin lalu, hasil pengedaran maklumat palsu bertujuan mencetuskan penyatuan di kalangan penduduk asal Papua.

Untuk matlamat ini, peranan Wenda mulai daripada rancangan kepada pelaksanaan berita palsu mengenai penghinaan kaum terhadap penduduk asal Papua jelas, kata Prasetyo di Jakarta, semalam.

“Sebagai tokoh Jawatankuasa Nasional Papua Barat (KNPB), peranan Benny Wenda disebalik rancangan ini tidak boleh dinafikan,” katanya.

Prasetyo berkata, polis juga sudah menjalankan pemeriksaan teliti terhadap ahli KNPB mengenai peranan mereka dalam menggunakan pelajar untuk mencetuskan kemarahan penduduk.

Menurut laman berita ANTARA, Majlis Perbandaran Bandar Oxford pernah memberikan Anugerah Kebebasan Bandar Oxford kepada Wenda, 17 Julai lalu.

Katanya, Wenda terbabit dalam mencetuskan tindakan ganas yang membawa kepada kematian penduduk awam dan anggota keselamatan Indonesia di Papua. - Agensi

Berita Harian X