Jumaat, 27 September 2019 | 3:56pm
 Seorang pekerja hospital mengusung mayat pelajar yang maut dalam rusuhan di Kendari, Indonesia. Foto AFP
Seorang pekerja hospital mengusung mayat pelajar yang maut dalam rusuhan di Kendari, Indonesia. Foto AFP

Seorang lagi pelajar maut akibat rusuhan

KENDARI: Seorang lagi pelajar maut, selepas menyertai protes pembaharuan undang-undang, termasuk mengharamkan hubungan luar nikah dan mengurangkan kuasa agensi anti rasuah, di sini.

Pengarah hospital tempatan, Sjarif Subijakto memberitahu AFP, pelajar jurusan kejuruteraan berusia 19 tahun itu, meninggal dunia di hospital selepas cedera di kepala akibat dipukul, ketika menyertai rusuhan di sini, semalam.

Ahli keluarga mangsa turut mengesahkan kematian remaja itu pada awal pagi tadi, namun punca sebenar kematian masih belum diketahui.

“Bapanya sudah boleh menerima kematian itu, tetapi ibu mangsa masih dalam keadaan terkejut.

“Namun, bapa mangsa hanya ingin mengetahui punca kematian anaknya,” kata salah seorang ahli keluarga mangsa, Rahmat kepada AFP ketika ditemui, di sini.

Ia adalah kematian kedua susulan tunjuk perasaan yang berlaku baru-baru ini, hingga mengakibatkan ratusan peserta protes cedera.

Semalam, seorang pelajar berusia 21 tahun yang menuntut di sebuah universiti di sini, dibawa ke hospital selepas cedera pada dada, sebelum diisytiharkan meninggal dunia.

Dalam pada itu, timbul persoalan mengenai punca kematiannya, selepas pihak polis enggan bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

“Ia adalah kecederaan akibat tembakan, tetapi saya tidak dapat mengesahkan sama ada ia peluru hidup atau getah,” kata doktor, Yudi Ashari yang merawat mangsa pertama.

Namun, ketika ditanya wartawan AFP, sama ada mangsa pertama maut akibat ditembak menggunakan peluru hidup, doktor forensik yang melakukan bedah siasat terhadap mayat mangsa berulang-kali menyatakan ‘ya’.

Bagaimanapun, polis menegaskan bahawa anggotanya yang bertugas mengawal rusuhan di Kendari, tidak dilengkapi dengan peluru hidup atau getah. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X