Jumaat, 27 September 2019 | 8:17pm
Presiden Indonesia, Joko Widodo. - Foto REUTERS

Presiden Indonesia pertimbang gugur undang-undang anti rasuah

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo memaklumkan beliau sedang mempertimbangkan penarikan balik undang-undang baharu membabitkan agensi rasuah negara itu yang mencetuskan kebimbangan aktivis dan membawa kepada tunjuk perasaan pelajar terbesar, sejak berdekad-dekad.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung, Widodo berkata, beliau menerima banyak maklum balas terhadap undang-undang itu sama ada untuk menggunakan kuasanya atau pun sekadar mengeluarkan peraturan.

“Pastinya kami akan mempertimbang perkara ini segera,” kata Widodo.

Suruhanjaya Pembasmi Rasuah atau (KPK) sudah mendakwa ratusan ahli politik, pegawai kerajaan dan ahli perniagaan, sejak ditubuhkan pada 2002, ia sudah menjadi antara agensi paling disegani negara itu.

Aktivis berkata, kajian semula untuk undang-undang yang diluluskan parlimen, minggu lalu, hanya menjejaskan usaha memerangi rasuah.

Perubahan itu termasuk mengehadkan kebebasan agensi berkenaan untuk mengintip suspek dan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memantau badan terbabit.

Selain itu, kemarahan berhubung undang-undang baharu mengkaji semula undang-undang jenayah baharu yang mengharamkan hubungan seks di luar hubungan perkahwinan dan cadangan kesalahan menghina presiden, turut mencetuskan tunjuk perasaan pelajar. - Reuters

Berita Harian X