Khamis, 10 Oktober 2019 | 10:04pm

Buaya 'gergasi' baham nelayan Filipina

MANILA: Seekor buaya air masin besar membunuh seorang nelayan di kepulauan terpencil selatan Filipina, selepas menerkam mangsa daripada bot beliau, menurut pihak berkuasa, hari ini.

Mangsa berusia 20 tahun dibaham buaya sepanjang 4.9 meter, lewat Selasa lalu, ketika beliau dan seorang rakan berlayar pulang ke pulau Balabac, selepas sehari menangkap ikan, kata jurucakap polis wilayah, Socrates Faltado.

Katanya, pada keesokan harinya, penduduk menemui mayat mangsa masih dalam rahang buaya itu. Mereka kemudian mengguna dinamit untuk membunuh haiwan terbabit.

“Kita perlu mengatasi punca insiden ini disebabkan pemusnahan habitat. Buaya tiada tempat bersembunyi dan makanan tidak cukup di habitat mereka.

“Ia adalah persaingan untuk ruang kerana manusia tidak mahu beralah,” katanya sambil menambah populasi buaya tempatan mungkin juga sudah meningkat.

Gugusan kepulauan Palawan terkenal dengan kepelbagaian flora dan fauna, namun pihak berkuasa semakin bimbang dengan pembangunan berluasa di kawasan itu. - AFP

Berita Harian X