JAKARTA: Kerajaan Indonesia mungkin mengambil balik kawasan hutan seluas 1.4 juta hektar sebagai sebahagian daripada larangan terhadap pembersihan tanah untuk sawit, kata pihak berkuasa, semalam.
Tahun lalu, Presiden Joko Widodo mengeluarkan larangan permit baharu untuk kelapa sawit selama tiga tahun bertujuan melindungi hutan negara itu.
Dekri itu turut memberikan kerajaan kuasa menilai semula lesen sedia ada dan membatalkannya, jika kawasan terbabit masih belum dibersihkan.
Pegawai pentadbir hutan di kementerian penyelaras hal ehwal ekonomi, Prabianto Mukti Wibowo berkata, 5.8 juta hektar kawasan hutan dilesenkan untuk penanaman sawit.
Namun, katanya, daripada jumlah itu 1.4 juta hektar masih belum ditukar kepada ladang dan masih mempunyai pokok hutan.
“Ia bergantung kepada penilaian kementerian alam sekitar. Selepas penilaian, menteri penyelaras boleh memperuntukkan tanah kerajaan untuk kawasan hutan atau sebagai tanah pertanian,” katanya. - Reuters