Selasa, 15 Oktober 2019 | 7:11am
Dedi menunjukkan gambar pisau digunakan dalam serangan ke atas Wiranto dalam sidang media di Jakarta, Jumaat lalu. -Foto Agensi

Indonesia tahan 22 militan susulan serangan menteri

JAKARTA: Indonesia menahan sekurang-kurangnya 22 suspek militan yang berkomplot meletupkan bom dan serangan lain dalam satu tindakan anti-keganasan susulan serangan pisau ke atas Menteri Keselamatan republik itu, kata polis semalam.

Jurucakap polis nasional, Brig Jeneral Dedi Prasetyo dalam sidang media memaklumkan, skuad anti-keganasan elit polis dikenali Densus 88, merampas 10 bom paip buatan dipercayai mahu digunakan ketika serangan bunuh diri, bahan kimia digunakan sebagai bahan letupan, pistol, pisau, dokumen berkaitan rancangan serangan, buku pelampau, komputer riba dan telefon bimbit dalam serbuan berasingan.

Polis memburu suspek militan lain, yang majoritinya terbabit dalam kumpulan sembang di media sosial dan anggota sekutu Daesh dikenali Jama’ah Anshorut Daulah atau JAD.

“Anggota kumpulan ini bebas menjalankan tindakan ganas secara bebas, bergantung kepada keupayaan mereka yang mahu menjalankan serangan,” kata Dedi dilaporkan The Associated Press.

Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Wiranto, seorang ketua polis tempatan dan lelaki ketiga, cedera dalam serangan waktu siang Selasa lalu, dilakukan pasangan suami isteri bersenjatakan pisau di wilayah barat, Banten.

Wiranto kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital tentera ibu kota dan polis sedang menyoal pasangan itu, dipercayai anggota blok JAD di Banten.

Wiranto, 72, bekas ketua turus kakitangan tentera, ditikam dua kali pada perut namun kini dalam keadaan stabil. Serangan berlaku seminggu sebelum upacara pengisytiharan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo untuk penggal keduanya pada 20 Oktober.

Jokowi menyifatkan penyerang sebagai pengganas dan menggesa rakyat memerangi pelampau. Beliau mengarahkan kerajaan memburu rangkaian militan bertanggungjawab melakukan serangan ke atas Wiranto.

Antara suspek ditahan dalam siri serbuan polis susulan serangan minggu lalu adalah seorang lelaki dan anak lelakinya berusia 14 tahun di Bali yang berkomplot membuat bom bagi menyerang polis tempatan. Mereka ditahan beberapa jam selepas serangan ke atas Wiranto. -Agensi

Berita Harian X