Isnin, 21 Oktober 2019 | 7:30pm
DUA wanita Thailand dan seorang lelaki Perancis bakal berdepan hukuman mati. - Foto AFP

Tiga pengedar dadah rakyat asing bakal ditembak mati di Bali

DENPASAR: Dua wanita Thailand dan seorang lelaki Perancis bakal berdepan hukuman mati selepas mereka ditangkap ketika menyeludup dadah ke Bali.

Agensi kastam negara itu berkata, dua rakyat Thailand dikenali sebagai Kasarin Khamkhao dan Sanicha Maneetes dilaporkan menaiki penerbangan dari Bangkok minggu lalu sebelum ditahan pegawai bertugas yang menjumpai dadah jenis methamphetamine hampir sekilogram di bawah pakaian mereka di lapangan terbang di sini.

“Ujian makmal mengesahkan semua bungkusan mengandungi methamphetamine seberat 958gram,” kata ketua imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Denpasar memberitahu wartawan hari ini.

Kedua-dua suspek masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan dan operator kedai sewa motosikal di Thailand mungkin berdepan hukuman ditembak mati jika didapati bersalah.

Dalam kes berasingan, lelaki Perancis, Olivier Jover ditahan di Bali selepas satu bungkusan tertera alamat rumahnya mengandungi kokain seberat 22.5 gram berjaya dirampas semasa tiba di lapangan terbang di sini.

Dia juga bakal berdepan penjara seumur hidup atau ditembak mati.

Indonesia pernah menembak mati pesalah rakyat asing sebelum ini termasuk dua dalang kumpulan Bali Nine pada 2015. -AFP.

Berita Harian X