Selasa, 5 November 2019 | 8:36pm
FOTO hiasan.

3 suspek dadah lari sebelum dibicara

BANGKOK: Tiga suspek dadah termasuk seorang rakyat Amerika melepaskan tembakan dan menikam polis ketika dalam perjalanan ke mahkamah sebelum melarikan diri dengan menaiki pikap, kata polis, hari ini.

Menurut polis, ketiga-tiga suspek hilang lebih daripada 24 jam selepas melarikan diri daripada bilik mahkamah Pattaya semalam.

“Jika mereka melawan...polis terpaksa bertindak tegas,” kata jurucakap polis kebangsaan, Krissana Pattanacharoen.

Ketiga-tiga suspek yang melarikan diri adalah lelaki Amerika, isterinya rakyat Thailand dan lelaki warga tempatan.

Pasangan itu berdepan hukuman mati kerana menyeludup dadah, walaupun hukuman itu jarang dilaksanakan.

Krissana berkata keluarga suspek sudah dihubungi dan mendesak mereka agar menyerahkan diri serta tidak melakukan sebarang keganasan.

Pihak berkuasa berkata, suspek lelaki warga Thailand memiliki pistol dan pisau yang digunakan untuk menyerang polis hingga membolehkan ketiga-tiganya melarikan diri.

Krissana berkata, pegawai yang cedera beransur pulih dan ketika ini pihak berkuasa sudah mengepung keseluruhan bandar peranginan itu yang terletak dua jam perjalanan ke Bangkok.

Thailand adalah pengeluar dan hab transit utama dadah. - AFP

Berita Harian X