Ahad, 10 November 2019 | 10:30am
Pihak berkuasa menemukan pembalut berdarah dalam rumah seorang doktor kampung tempatan berhampiran tempat kejadian yang berada dalam siasatan forensik untuk memadankan kesan darah akibat pertempuran. -Foto Agensi

7 suspek ditahan dalam kaitan serangan pemisah di Selatan Thailand

BANGKOK: Tujuh suspek pemisah ditahan di rantau bergolak Selatan Thailand, kata pihak berkuasa semalam, ketika pemburuan lelaki bersenjata di perkampungan terpencil yang membunuh 15 orang malam Selasa lalu, dianggap peristiwa berdarah sejak bertahun pemberontakan pemisah.

Tiga wilayah paling Selatan di Thailand dilingkari konflik 15 tahun yang mengorbankan lebih 7,000 penduduk, majoriti orang awam ketika pemisah Melayu Islam berjuang mendapatkan autonomi dari kerajaan majoriti Buddha, Thailand.

Serbuan malam Selasa lalu di wilayah Yala dilakukan ke atas dua pos pemeriksaan dikawal sukarelawan pertahanan awam, penduduk kampung dilatih dan dilengkapi senjata oleh kerajaan Thailand, menyebabkan 15 orang terdiri daripada penduduk Buddha dan Islam maut.

Seorang suspek ditahan hari berikutnya dan serbuan dilakukan lewat malam Jumaat di wilayah Yala dan Pattani menahan tambahan enam lain, kata jurucakap tentera selatan, Pramote Prom-in.

Pihak berkuasa juga menemukan pembalut berdarah dalam rumah seorang doktor kampung tempatan berhampiran tempat kejadian yang berada dalam siasatan forensik untuk memadankan kesan darah akibat pertempuran, katanya kepada AFP.

“Kami mengesyaki antara 30 hingga 40 orang terbabit,” kata Pramote menambah tidak jelas kumpulan pemisah mana merancang serangan itu.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu sama seperti insiden lain di Selatan Thailand. -AFP

Berita Harian X