PHNOM PENH: Kemboja membebaskan pemimpin pembangkang, Kem Sokha dari tahanan rumah selama lebih dua tahun atas tuduhan membelot, namun larangan berpolitik dan meninggalkan negara itu kekal, kata sebuah mahkamah hari ini.
Kelonggaran sekatan ke atas Sokha diberi sehari selepas Sam Rainsy, pengasas bersama parti diharamkan Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP), terbang ke Malaysia dari hidup dalam buangan di Paris, Perancis, menyasar kembali ke Kemboja.

Mahkamah Perbandaran Phnom Penh dalam satu kenyataan berkata, Sokha boleh keluar dari rumahnya namun dia dilarang terbabit dalam aktiviti politik atau meninggalkan negara itu.
“Mengikut syarat baharu, dia boleh melakukan perjalanan ke mana-mana saja namun tidak boleh meninggalkan Kemboja.
“Kelonggaran itu diberi kerana dia memberi kerja sama dengan pihak berkuasa,” kata jurucakap Kementerian Kehakiman, Chin Malin. -Reuters