Selasa, 12 November 2019 | 4:35pm
FOTO hiasan.

Pengendali beg tukar tanda bagasi dipenjara 12 hari

SINGAPURA: Seorang pengendali beg Singapura dipenjara 20 hari kerana menukar tanda hampir 300 bagasi di lapangan terbang negara itu, menyebabkan destinasi sebenar kesemua beg berkenaan saling bertukar.

Tay Booh Keh, 66 mengaku bersalah atas tuduhan menukar tanda 286 bagasi di Lapangan Terbang Changi yang juga antara hab pengangkutan paling sibuk di dunia.

Mahkamah diberitahu, dia melakukan kesalahan itu antara November 2016 dan Februari 2017, kerana didorong rasa marah dan kecewa selepas permintaan mendapatkan petugas tambahan tidak dipedulikan.

Menurut dokumen mahkamah, pertukaran berkenaan membabitkan bagasi ke seluruh dunia, termasuk Perth, Australia, Manila (Filipina), Frankfurt (Jerman), London (England) dan San Francisco di Amerika Syarikat.

Kesemua beg itu adalah milik penumpang yang transit di Changi dan menaiki penerbangan Singapore Airlines serta anak syarikat mereka, SilkAir.

Mahkamah juga diberitahu, tertuduh mengalami kemurungan atau depresi yang mendorong dia melakukan kesalahan itu.

Barisan pendakwa dalam hujah mereka bagaimanapun berkata, keadaan lelaki itu bagaimanapun bukan pendorong utama dia melakukan perbuatan berkenaan kerana ia menunjukkan tertuduh masih memiliki kawalan ke atas setiap tindakan diambil.

Pendakwa Thiam Jia Min berkata, penukaran tanda bagasi itu berpotensi mengancam nyawa penumpang kerana ia mungkin mengandungi bekalan perubatan yang amat diperlukan.

Lapangan Terbang Changi menerima hampir 65.6 juta penumpang tahun lalu. - AFP

Berita Harian X