Selasa, 12 November 2019 | 7:27pm
MENTERI Komunikasi Indonesia, Johnny G Plate.

Laporkan penjawat awam Indonesia yang muat naik kandungan radikal

JAKARTA: Indonesia melancarkan laman web untuk melaporkan kandungan ‘radikal’ yang dimuat naik penjawat awam, ketika kerajaan negara majoriti Islam terbesar dunia itu cuba membendung ideologi pelampau Islam daripada meresap di kalangan kakitangannya.

Secara rasminya, Indonesia adalah sekular, namun menyaksikan peningkatan konservatif dengan ada ahli politik menuntut peranan lebih besar Islam, malah ada yang mahu menjadikannya negara Islam sepenuhnya.

“Matlamat laman web ini adalah untuk mengalu-alukan orang ramai bersama-sama memperbaiki prestasi penjawat awam kita selain menggalakkan semangat nasionalisme,” kata Menteri Komunikasi Indonesia, Johnny G Plate.

Menurut seksyen soalan selalu ditanya (FAQ), radikal bermaksud mengandungi elemen kebencian, maklumat salah, tidak toleransi atau sentimen anti-Indonesia.

Kementerian Agama Indonesia turut mengumumkan rancangan untuk menggantikan 167 buku teks Islam yang dianggap mengandungi bahan radikal dan tidak bertoleransi menjelang akhir tahun ini.

“Matlamatnya supaya membolehkan ajaran agama menjadikan pelajar lebih bertoleransi dan menghargai kaum berbeza dengan mereka,” kata Ketua Pengarah Pendidikan Islam di Kementerian Hal Ehwal Agama, Kamaruddin Amin.

Indonesia juga merancang mengetatkan penapisan pegawai kanan kerajaan bagi memastikan mereka tidak mempunyai pandangan radikal, menurut satu dokumen dan seorang pegawai kanan yang terbabit dalam rancangan itu.

Tinjauan bebas Pusat Kajian Alvara pada 2017 mendapati, satu daripada lima penjawat awam dan 10 peratus pekerja syarikat kerajaan tidak bersetuju dengan ideologi negara sekular Pancasila dan sebaliknya menyokong negara Islam.

Ketua kumpulan konservatif Islam, Alumni 212, Slamet Maarif memaklumkan, pihaknya akan memantau program anti-radikalisasi kerajaan.

“Jika dasar itu menentang nilai keadilan atau menghina majoriti Islam, kita akan menentangnya,” katanya. - Reuters

Berita Harian X