Selasa, 12 November 2019 | 9:01pm
Pekerja menanam bangkai babi di Medan, Sumatera Utara hari ini. -Foto AFP

Indonesia tanam lebih 1,000 bangkai babi dijangkiti taun

MEDAN: Lebih 1,000 ekor babi yang dijangkiti taun ditanam di Indonesia selepas bangkai mereput haiwan itu dikeluarkan dari saluran air tempatan, kata seorang pegawai kerajaan hari ini.

Ratusan lagi bangkai haiwan itu masih terapung dalam sungai dan tasik berdekatan bandar ini, ibu kota wilayah Sumatera Utara, ketika polis memburu suspek yang membuang bangkai terbabit.

“Bangkai haiwan itu dibuang lapan hari lalu justeru ia semakin mereput dan mengeluarkan bau amat busuk.

“Kami akan terus membersihkan dan menanam bangkai sehingga selesai kerana penduduk mengadu mengenainya,” kata pegawai tempatan Muhammad Yunus.

Kira-kira 6,000 ekor babi mati di seluruh Sumatera Utara sejak September lalu dan banyak dibuang ke dalam sungai tempatan.

Ujian makmal mendapati, haiwan itu mati akibat taun namun pihak berkuasa juga berkata, mereka turut menguji untuk mengesan jangkitan demam babi Afrika. Kedua-duanya tidak memberi risiko kepada manusia. -AFP

Berita Harian X