Rabu, 13 November 2019 | 12:11pm
Polis sedang memeriksa lokasi letupan di ibu pejabat polis Medan, Sumatera Utara, Indonesia. Foto AFP

Seorang maut, serangan bom di ibu pejabat polis Medan

MEDAN: Serangan dipercayai oleh pengebom nekad di luar ibu pejabat polis di sini, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan beberapa anggota polis cedera.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku pada jam 8.45 pagi (waktu tempatan) tadi dan motif serangan masih disiasat.

“Kami percaya ia adalah serangan pengebom nekad dan seorang penyerang maut,” kata jurucakap polis, Dedi Prasetyo kepada wartawan di Jakarta.

Kompas TV yang memetik Dedi pula melaporkan, letupan tidak membabitkan pusat perkhidmatan surat, sebaliknya hanya kawasan meletak kenderaan.

Wartawan AFP yang berada di lokasi, turut melihat satu mayat terbaring di kawasan di luar ibu pejabat polis terbabit.

Sumber polis memberitahu AFP, serangan disyaki dilakukan sekurang-kurangnya dua pengebom nekad, tetapi tiada pengesahan mengenainya.

Media tempatan turut melaporkan, sekurang-kurangnya seorang pegawai polis dibawa ke hospital, selepas insiden itu tetapi keadaannya tidak diketahui.

Sementara itu, Jakarta Post melaporkan, letupan berlaku di kawasan meletak kereta di luar bahagian narkotik, ibu pejabat polis berkenaan, mengakibatkan seorang mangsa cedera. - AFP/Agensi/Reuters

Berita Harian X