Khamis, 14 November 2019 | 12:27pm
Pantai Kuta, Bali. - Foto Reuters

Menteri nafi mahu jadikan Bali, Danau Toba destinasi mesra Islam

JAKARTA: Indonesia tidak bercadang menjadikan pusat tumpuan pelancong terkenal, Bali dan Danau Toba di Sumatera Utara sebagai destinasi mesra Islam, kata Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wishnutama.

Ia sekali gus menyangkal laporan media yang menyatakan beliau akan berbuat demikian di lokasi percutian terkemuka Indonesia itu.

“Kami percaya perlu mengekalkan dan menguruskan kebudayaan tempatan, warisan semula jadi dan kebudayaan supaya Indonesia akan selalu menarik pelancong dan membawa kemakmuran kepada penduduk,” kata Wishnutama dalam kenyataan.

Katanya, kementerian komited membangunkan Bali dan Danau Toba selari dengan kebudayaan tempatan.

Kenyataan Wishnutama dikeluarkan susulan laporan media menyatakan kementerian bercadang melakukan perubahan di dua lokasi pelancongan itu, yang bukan wilayah majoriti Islam, untuk menarik lebih ramai pelancong Islam.

Salah satu laporan disiarkan dengan tajuk ‘Wishnutama dan Angela akan mengubah Bali dan Danau Toba menjadi lebih mesra Islam’.

Angela ialah timbalan Wishnutama, Angela Herliani Tanoesoedibjo.

Pautan kepada laporan itu menjadi tular dan menarik perhatian di media sosial.

Bagaimanapun, menjelang tengah hari semalam, laporan itu tidak dapat diakses lagi. — Agensi

Berita Harian X