Sabtu, 16 November 2019 | 7:32am
Pelarian Rohingya berkumpul berhampiran pagar kawat berduri di penempatan sementara di daerah Maungdaw, Rakhine, di sempadan Bangladesh dan Myanmar. Foto AFP

Myanmar tolak siasatan ICC mengenai Rohingya

YANGON: Myanmar menyifatkan tuduhan jenayah oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ke atas negara itu, tidak mengikut peruntukan undang-undang antarabangsa.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Myanmar menerima tekanan masyarakat antarabangsa, susulan jenayah yang dilakukannya ke atas etnik minoriti, Rohingya.

Khamis lalu, ICC meluluskan siasatan penuh terhadap tindakan ketenteraan Myanmar ke atas kumpulan minoriti Islam itu pada 2017.

Keputusan itu diambil selepas beberapa kumpulan hak asasi memfailkan tuntutan undang-undang berasingan di Argentina, antara lain menamakan bekas ikon demokrasi Aung San Suu Kyi sebagai tertuduh.

Kumpulan terbabit turut mengemukakan permohonan kes pembunuhan beramai-ramai itu di ICC.

Dua tahun lalu, kira-kira 740,000 etnik Rohingya melarikan diri ke sempadan untuk menempatkan perlindungan di beberapa kem di Bangladesh, susulan insiden keganasan yang disifatkan oleh pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Namun, Myanmar berulang kali menyangkal tuduhan itu dan mendakwa ia bertujuan menangani masalah militan dan enggan mengiktiraf dakwaan ICC, yang dibangkitkan semula, semalam.

“Siasatan yang dijalankan ke atas Myanmar oleh ICC, tidak mengikut undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap kerajaan, Zaw Htay pada satu sidang media, semalam.

Walaupun, Myanmar masih belum menandatangani sebarang perjanjian sebagai anggota ICC, namun ICC menegaskan bahawa mereka mempunyai bidang kuasa mengenai jenayah terhadap Rohingya, kerana Bangladesh, iaitu lokasi perlindungan pelarian terbabit, adalah anggotanya. - AFP

Berita Harian X