Sabtu, 16 November 2019 | 3:42pm
Seorang lelaki menggunakan vape. -Foto Reuters

Filipina lapor kes pertama penyakit dikaitkan vape

MANILA: Filipina semalam melaporkan kes pertama penyakit dikaitkan akibat menghisap vape, ketika pihak berkuasa kesihatan menyuarakan kebimbangan berikutan arahan mahkamah menghalang mereka daripada menguatkuasakan penggunaan rokok elektronik (e-rokok).

Kematian dan penyakit dikaitkan penggunaan vape di sesetengah negara meningkatkan kebimbangan berhubung populariti bertambah e-rokok, dianggap kurang berbahaya berbanding tembakau. India dan sesetengah negeri di Amerika Syarikat (AS) melarang penggunaan e-rokok.

Seorang remaja 16 tahun di tengah Filipina yang menggunakan e-rokok selama enam bulan dimasukkan ke hospital bulan lalu kerana sesak nafas akut dan mengalami kecederaan paru-paru dikaitkan vape, kata jabatan kesihatan.

Gadis itu dirawat oleh seorang pakar paru-paru pediatrik dan dibenarkan keluar dari hospital.

“Semua pengguna e-rokok perlu mendapatkan rawatan perubatan segera dan meminta nasihat daripada doktor cara terbaik berhenti menggunakan produk berbahaya itu,” kata Penolong Setiausaha Kesihatan, Enrique Domingo dalam satu kenyataan.

Bulan lalu, jabatan kesihatan mengarahkan hospital supaya merekod kes berkaitan vape dan merangka peraturan berkaitan penggunaannya. -AFP

Berita Harian X