X
Rabu, 20 November 2019 | 5:03pm
BANGKAI haiwan terancam berusia 40 tahun itu dijumpai seorang pekerja ladang di wilayah Riau, dalam kepulauan Sumatera, Isnin lalu. - Foto AFP
BANGKAI haiwan terancam berusia 40 tahun itu dijumpai seorang pekerja ladang di wilayah Riau, dalam kepulauan Sumatera, Isnin lalu. - Foto AFP

Bangkai gajah dipenggal kepala ditemui di Riau

PEKANBARU : Seekor gajah Sumatera ditemui mati, dalam keadaan kepala dipenggal manakala gading haiwan itu dicabut, dipercayai hasil perbuatan pemburu haram, kata pegawai perlindungan hidupan liar Indonesia.

Bangkai haiwan terancam berusia 40 tahun itu dijumpai seorang pekerja ladang di wilayah Riau, dalam kepulauan Sumatera, Isnin lalu.

“Kepala gajah jantan itu sudah dipotong dan sepasang gading yang sudah dicabut terdampar beberapa meter dari bangkai haiwan terbabit,” kata ketua agensi perlindungan tempatan, Suharyono dalam satu kenyataan.

Menurut pihak berkuasa, gajah berkenaan dipercayai sudah mati lebih seminggu lalu dan pihak berkuasa masih berusaha mengesan pihak yang bertanggungjawab.

“Kami mengesyaki haiwan itu diburu dan dibunuh, sebelum kepala serta gading dipotong,” katanya.

Penebangan hutan yang berleluasa menjadikan habitat semula jadi spesies hidupan liar berkenaan semakin berkurangan, sekali gus membuatkan haiwan terancam itu kerap menimbulkan masalah kepada manusia.

Ditambah dengan nilai tinggi gading gajah di pasaran gelap, aktiviti pemburuan haram semakin rancak dan mudah dilakukan.

Bangkai seekor gajah tanpa gading ditemui di wilayah Acheh tahun lalu, dipercayai diracun pemburu haram.

Kementerian Alam Sekitar Indonesia menganggarkan bahawa jumlah gajah Sumatera yang masih hidup adalah berkurangan daripada 2,000. - AFP

Berita Harian X