Khamis, 21 November 2019 | 9:29am
Pekerja binaan berkumpul di hadapan tapak pembinaan susulan gempa magnitud 6.1 di sempadan Laos-Thailand awal hari ini. -Foto EPA

Gempa magnitud 6.1 di sempadan Laos-Thailand dirasai sejauh Bangkok, Hanoi

BANGKOK: Satu gempa bumi cetek magnitud 6.1 menggegarkan kawasan barat laut Laos berhampiran sempadan Thailand awal hari ini, lapor Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Tiada laporan kerosakan sejurus gempa yang berlaku jam 6.50 pagi waktu tempatan namun gegaran dapat dirasai sejauh lebih 700 kilometer di ibu kota Thailand, Bangkok.

Gempa dilaporkan berlaku berhampiran daerah Muang Nan di utara Thailand, pada kedalaman 10 kilometer.

“Gegaran akibat gempa di Laos jam 6.50 pagi dirasai di kawasan utara dan timur laut Thailand, Bangkok serta luar bandar. Sehingga kini tiada laporan kerosakan,” kata seorang pegawai Jabatan Meteorologi Thailand, Sophon Chaila.

Penduduk di ibu kota Vietnam di Hanoi juga merasakan bangunan bergoyang.

“Lampu siling bergegar agak kuat. Saya merasa pening dan takut,” kata penduduk Hanoi, Tran Hoa Phuong, yang merasai gegaran di bangunan pangsapuri didiaminya setinggi 27 tingkat.

Gegaran dirasai tiga jam selepas gempa magnitud 5.7 menggegarkan rantau sama Laos berhampiran tapak projek empangan Xayaburi.

Maklumat terlalu perlahan diterima di negara komunis itu dan tiada laporan kerosakan atau kecederaan selepas gempa berturutan awal hari ini. -AFP


Keadaan tapak binaan selepas gempa magnitud 6.1 menggegarkan kawasan sempadan Laos-Thailand dan dirasai sejauh Bangkok dan Hanoi. -Foto EPA

Berita Harian X