Isnin, 2 Disember 2019 | 11:50am
FILIPINA berhadapan Taufan Kammuri apabila ribut itu semakin mendekati, memaksa rakyat berpindah dan mengancam acara Sukan SEA berhampiran ibu kota negara itu. - Foto hiasan

Kammuri semakin hampir, ancam kelancaran Sukan SEA

MANILA: Filipina berhadapan Taufan Kammuri apabila ribut itu semakin mendekati, memaksa rakyat berpindah dan mengancam acara Sukan SEA berhampiran ibu kota negara itu.

Kammuri dijangka tiba lewat hari ini atau awal pagi esok di timur Filipina dengan hujan lebat dan angin kencang mencecah 185 kilometer sejam, kata jabatan kaji cuaca.

Ribut itu berada dalam laluan untuk lalu berhampiran Manila, yang mempunyai 13 juta penduduk dan lokasi kebanyakan pertandingan Sukan SEA.

Hampir 70,000 penduduk sudah berpindah di wilayah Bicol, yang dijangka menjadi lokasi ketibaan ribut itu.

“Kami harap tiada kerosakan tetapi memandangkan kekuatan Kammuri, kami tidak dapat mengelak.

“Kami sudah memindahkan lebih awal penduduk di kawasan yang menjadi laluan ribut secara langsung,” kata jurucakap agensi bencana kebangsaan, Mark Timbal.

Biro kaji cuaca juga memberi amaran tanah runtuh disebabkan hujan lebat dan kemungkinan gelombang ribut sehingga tiga meter yang melanda kawasan pantai di timur negara itu.

Filipina dilanda purata 20 ribut dan taufan setiap tahun, membunuh ratusan penduduk dan menyebabkan rakyat di kawasan kerap dilanda bencana dalam kemiskinan. — AFP

Berita Harian X