Isnin, 2 Disember 2019 | 9:05pm

1.6 juta hektar tanah musnah terbakar di Indonesia

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 1.6 juta hektar tanah degradasi dan gambut yang kaya dengan karbon di Indonesia musnah akibat kebakaran yang turut mengakibatkan seluruh Asia Tenggara dilitupi jerebu tahun ini, kata sekumpulan pengkaji.

Asia Tenggara berdepan isu jerebu paling teruk tahun ini sejak 2015 apabila 2.6 juta hektar tanah terbakar di Indonesia sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kesihatan dan kualiti alam sekitar.

Teknik pembakaran terbuka untuk menyuburkan tanah atau slash-and-burn oleh pengusaha ladang kelapa sawit sering dianggap sebagai punca utama api merebak dengan pantas terutama ketika musim kemarau.

Kebakaran hutan di Indonesia juga sering dianggap menjadi penyumbang kepada meningkatnya pelepasan gas rumah hijau dan penebangan hutan yang mengancam hidupan liar seperti orangutan.

Pusat Kajian Perhutanan Antarabangsa (CIFOR) yang berpangkalan di Jakarta berkata, analisis imej satelit sepanjang 10 bulan pertama tahun ini menunjukkan kebanyakan kebakaran berlaku di kawasan tanah yang dibersihkan sejak beberapa tahun lalu.

“Kami mendapati 76 peratus daripada kebakaran berlaku di tanah terbiar. Beberapa tahun lalu, ia adalah hutan, tetapi kini ia menjadi tanah degradasi yang tidak produktif selepas beberapa kali dibakar,” kata saintis CIFOR yang diketuai David Gaveau dalam satu kenyataan.

Saintis terbabit menganggarkan kira-kira 60,000 hektar kawasan hutan hujan terbakar tahun ini sehingga Oktober.

Wilayah Jambi dan Kalimantan Barat yang menjadi habitat utama harimau dan orangutan antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat kebakaran hutan terbabit.

Sejumlah 1.6 juta hektar tanah yang dianggarkan musnah oleh CIFOR adalah berdasarkan analisis di tujuh wilayah di Indonesia.

Bagaimanapun, kementerian alam sekitar dan perhutanan Indonesia enggan mengulas lanjut kesahihan data yang dikeluarkan CIFOR.

Namun, pada awal tahun ini pihak berkuasa berkata sejumlah 857,756 hektar tanah musnah sehingga akhir September. - Reuters

Berita Harian X