Selasa, 3 Disember 2019 | 6:37pm
Taufan Kammuri meragut sekurang-kurangnya dua nyawa di Filipina, hari ini dengan bumbung rumah mengalami kerosakan dan lapangan terbang di Manila terpaksa ditutup.

Taufan Kammuri ragut dua nyawa

MANILA: Taufan Kammuri meragut sekurang-kurangnya dua nyawa di Filipina, hari ini dengan bumbung rumah mengalami kerosakan dan lapangan terbang di Manila terpaksa ditutup.

Ribut terbabit melanda Filipina sejak petang semalam dan menuju ke selatan Manila yang didiami 13 juta penduduk dan ribuan atlit menyertai Sukan SEA

Di Mindoro, seorang lelaki maut selepas ditimpa pokok dan seorang lagi terkena kayu yang diterbangkan angin ribut.

Difahamkan pihak berkuasa masih menilai kesan akibat ribut itu, tetapi sebuah lapangan terbang kecil dilaporkan mengalami kerosakan teruk selain tiang elektrik tumbang dan rumah ranap.

“Sebahagian besar pokok tumbang dan banyak bumbung diterbangkan angin semasa taufan melanda,” kata pegawai bencana, Junie Castillo.

Sementara itu, pengurus besar lapangan terbang, Ed Monreal memberitahu AFP bahawa, angin kuat mengakibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila terpaksa menutup operasinya.

Katanya, beliau belum pasti bila penerbangan akan bersambung semula, tetapi pihak berkuasa menganggarkan ia akan beroperasi jam 11 malam ini dan keputusan itu juga bergantung kepada keadaan cuaca.

Hampir 500 penerbangan dibatalkan dan pegawai bertugas memberi amaran kepada penumpang supaya tidak datang ke lapangan terbang itu.-AFP.

Berita Harian X