Rabu, 4 Disember 2019 | 2:51pm
PENDUDUK mengumpul serpihan rumah yang musnah akibat dilanda taufan Kammuri di Sorsogon. - Foto AFP

Jumlah kematian akibat Kammuri meningkat 10

MANILA: Jumlah kematian akibat taufan Kammuri yang melanda wilayah di selatan Filipina meningkat kepada 10, kata agensi bencana alam hari ini, sambil memaklumkan bahawa objektif utama memfokus kepada langkah pencegahan dan pemindahan bagi mengelakkan kemalangan jiwa lebih besar.

Kammuri, taufan ke-20 yang melanda Filipina tahun ini, tiba malam Isnin lalu, memaksa pemindahan ribuan penduduk dan pembatalan ratusan penerbangan.

Ia turut menjejaskan jadual beberapa acara pada temasya Sukan SEA, yang akan berlangsung sehingga 11 Disember ini.

Lima orang terbunuh di kawasan Bicol termasuk tiga yang mati lemas, kata agensi bencana tempatan dalam satu laporan, manakala lima lagi maut di selatan ibu negara.

Jurucakap agensi bencana, Mark Timbal dalam kenyataan kepada stesen penyiaran ANC berkata, kira-kira 345,000 penduduk masih ditempatkan di pusat perlindungan sementara sambil menunggu kebenaran pihak berkuasa untuk pulang ke rumah.

“Ribut berkenaan mendatangkan kerosakan yang lazim berlaku seperti pokok tumbang dan atap diterbangkan angin, termasuk pada beberapa bangunan kerajaan,” katanya.

Menurut sumber rasmi, usaha memaksa penduduk untuk berpindah dan persediaan awal membantu mereka mencegah kematian daripada berlaku dengan jumlah yang besar.

Kelajuan angin Kammuri berkurangan kepada 100 kilometer sejam ketika ia menghala ke Laut China Selatan.

Agensi kaji cuaca tempatan meramalkan, taufan berkenaan akan meninggalkan Filipina malam nanti.

Purata 20 taufan melanda Filipina setiap tahun, sebuah negara yang terdiri daripada gugusan lebih 7,000 kepulauan. - Reuters

Berita Harian X