Khamis, 5 Disember 2019 | 5:12pm

Korban Kammuri cecah 13

MANILA: Bilangan mangsa yang maut akibat Taufan Kammuri yang melanda Filipina minggu ini meningkat kepada 13, kata pegawai hari ini, ketika pihak berkuasa mengesahkan laporan kematian berkaitan bencana itu.

Kekuatan angin Kammuri menyebabkan pokok tumbang dan meranapkan rumah di sebahagian besar kawasan di utara negara itu Selasa lalu, dan memaksa penutupan lapangan terbang antarabangsa Manila selama 12 jam.

Pihak berkuasa, semalam berkata seorang lemas manakala tiga lagi maut selepas ditimpa pokok dan objek yang diterbangkan angin.

Pegawai bencana tidak menyatakan butiran mengenai cara kematian lain, tetapi laporan polis menyatakan mereka mungkin lemas atau ditimpa pokok.

Jurucakap agensi bencana kebangsaan, Mark Timbal, berkata tiada mayat baharu ditemui tetapi angka kematian dijangka bertambah apabila laporan di darat disahkan.

“Ada kemungkinan pertambahan dalam bilangan, tetapi kami berharap tidak,” kata Timbal.

Ratusan ribu penduduk yang tinggal di kawasan terdedah atau rendah dipindahkan dari rumah mereka sebelum Kammuri melanda lewat Isnin lalu, yang berjaya menyelamatkan banyak nyawa.

Namun ia merosakkan 135 sekolah dan memusnahkan hampir 1,200 rumah, dengan kerosakan tanaman di kawasan paling teruk terjejas dianggarkan mencecah hampir

AS$16 juta (RM66 juta).

Filipina dilanda purata 20 ribut dan taufan setahun, mengorbankan ratusan nyawa dan menyebabkan penduduk di kawasan kerap dibadai bencana dalam kemiskinan. — AFP

Berita Harian X