Selasa, 14 Januari 2020 | 7:06pm
Gunung Berapi Taal yang aktif dan sudah mengeluarkan lava dan abu sehingga memaksa amaran berpindah dikeluarkan sejak semalam. - Foto AFP
Keadaan di Talisay, Batangas, Filipina. - Foto Reuters

Ribuan bakal harungi kesan bencana letusan gunung berapi

TANAUAN: Pihak berkuasa Filipina memberi amaran kepada ribuan penduduk di sini berhubung Gunung Berapi Taal yang aktif dan sudah mengeluarkan lava dan abu sehingga memaksa amaran berpindah dikeluarkan sejak semalam.

Susulan gunung berapi berkenaan yang berisiko membahayakan nyawa, ribuan penduduk sekitar diarahkan meninggalkan kediaman mereka kerana dikhuatiri berlaku letupan dalam skala besar.

Kawah gunung berapi itu disahkan mula meletup, selain mengeluarkan lava merah sejak Ahad lalu memaksa mereka yang tinggal di sekitar gunung di selatan Manila itu mendapatkan perlindungan keselamatan di kawasan lain.

Berikutan kejadian itu, ramai penduduk kehilangan harta benda, haiwan ternakan dan peliharaan selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran kecemasan berkenaan letupan berkenaan.

Setakat ini, sekitar 30,000 penduduk masih berada di kawasan perlindungan disediakan pihak berkuasa.

Sebelum ini, letusan Gunung Pinatubo, kira-kira 100 kilometer dari barat laut Manila pada 1991, mengorbankan lebih 800 penduduk. - AFP

Berita Harian X