Khamis, 20 Februari 2020 | 4:12pm
SEORANG lelaki memakai topeng muka ketika ditemui di Marina Bay Waterfront. - Foto Reuters
SEORANG lelaki memakai topeng muka ketika ditemui di Marina Bay Waterfront. - Foto Reuters

Imigresen Singapura keluarkan 77 notis kuarantin kendiri

SINGAPURA: Jabatan Imigresen Singapura keluarkan 77 notis berkurung di rumah selepas 12 jam skim kuarantin kendiri dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19.

Media tempatan melaporkan, notis dikeluarkan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) itu menyasarkan penduduk Singapura, pemegang pas jangka masa panjang dan pekerja asing yang pernah berkunjung ke China dalam 14 hari lalu.

Bagaimanapun, mereka yang pernah berkunjung ke wilayah Hubei dikecualikan daripada perintah notis berkenaan kerana diwajibkan proses kuarantin.

Notis berkenaan berkuat kuasa jam 11.59 malam Selasa lalu dan mereka tidak dibenarkan keluar atau meninggalkan rumah selama 14 hari.

Langkah yang diambil itu lebih ketat berbanding Cuti Ketidakhadiran (LOA), yang membolehkan orang ramai meninggalkan rumah mereka dengan segera berdasarkan keperluan. LOA tidak lagi dikeluarkan.

Mereka yang gagal mematuhi notis berkenaan boleh didenda sehingga SGD10,000 (RM29,886) atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika membabitkan kesalahan pertama.

Untuk kesalahan seterusnya, denda maksimum SGD20,000 (RM59,772) atau penjara setahun dikenakan.

Tindakan undang-undang akan diambil terhadap penduduk tetap dan pemegang kad termasuk pekerja serta pelajar yang ingkar, di mana permit atau pas masuk semula mereka akan dipendekkan, atau dibatalkan.

Ibu bapa dan penjaga juga perlu bertanggungjawab terhadap anak-anak termasuk jagaan berumur 18 tahun ke bawah.

Notis berkenaan dikeluarkan dalam dwi bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, merangkumi borang untuk butiran membabitkan nombor telefon dan alamat.

Mereka yang mendapat notis berkenaan perlu menandatanganinya sebagai perakuan mereka sudah menerima dan maklum mengenai penalti dikenakan.

Kerajaan republik itu mengumumkan langkah baharu terbabit Isnin lalu selepas berlaku peningkatan kes COVID-19 di luar kawasan Wuhan, China yang menjadi pusat penularan wabak berkenaan.

Berikutan itu, pegawai penguat kuasa akan menghubungi dan membuat pemeriksaan secara rawak bertujuan memastikan golongan sasar mematuhi undang-undang baharu itu. - AGENSI

Berita Harian X