Selasa, 17 March 2020 | 6:24pm

Cuaca panas belum tentu dapat bendung COVID-19

SINGAPURA: Peningkatan ketara jangkitan COVID-19 di Asia Tenggara sejak kebelakangan ini menimbulkan kesangsian terhadap teori bahawa cuaca panas boleh membendung penularan wabak itu.

Pakar dari Lee Kuan Yew School of Public Policy, Prof Tikki Pangestu, berkata teori sebelum ini bahawa cuaca panas mengurangkan jangkitan tidak terpakai lagi.

“Justeru, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang akan memasuki musim panas tidak lama lagi, diminta jangan alpa dalam usaha mengekang penularan coronavirus itu.

“Ia berikutan negara seperti Indonesia, Thailand, Malaysia dan Filipina kini merekodkan kadar jangkitan yang tinggi, sekali gus membuktikan faktor cuaca tidak memberi kesan besar.

"Penduduk Eropah berharap cuaca panas akan membunuh coronavirus tetapi saya rasa ini tidak akan berlaku,” katanya.

COVID-19 sudah menjangkiti lebih 170,000 dan mengorbankan lebih 6,500 nyawa di serata dunia.

Tidak banyak yang diketahui mengenai virus terbabit walaupun simptom yang ditunjukkan sama dengan influenza musim sejuk, yang lazimnya berlaku di kawasan suhu rendah.

Lokasi punca coronavirus itu, seperti kluster di Wuhan, China, utara Itali dan wilayah tertentu di AS mengalami cuaca yang hampir sama.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bulan lalu mengumumkan tiada bukti menunjukkan cuaca memainkan peranan dalam penularan wabak itu tetapi perlu dikaji lebih lanjut.

Di Asia Tenggara yang lazimnya bercuaca panas, kebanyakan negara hanya melaporkan beberapa kes COVID-19 ketika wabak itu bermula akhir Disember lalu di Wuhan.

Bagaimanapun, pakar berpendapat kekurangan kes itu adalah kerana tidak ramai diperiksa dan coronavirus itu sudah mula wujud sebagai kluster tersendiri di luar China.

Pengerusi Rangkaian Tindak Balas dan Amaran Penularan Global di bawah penyelarasan WHO, Prof Dale Fisher, berkata cuaca panas mungkin memperlahankan penularan COVID-19 tetapi tidak mungkin memberi kesan ketara.

"Apa yang penting sekarang ialah keberkesanan negara terbabit melaksanakan kuarantin dan mengasingkan kes jangkitan daripada masyarakat, ini lebih penting, bukannya cuaca,” katanya.

Peningkatan mendadak kes COVID-19 di Asia Tenggara sejak kebelakangan ini mendorong kerajaan berkenaan mengambil langkah pembendungan lebih drastik.

Berikutan kekurangan maklumat mengenai coronavirus baharu, pakar mengingatkan semua negara supaya jangan terlalu mengharapkan cuaca panas dapat membendung penularan wabak itu.

Penyelidik Mikrobiologi Institut Sains Indonesia, Dr Sugiyono Saputra, berkata ada banyak faktor mempengaruhi sifat coronavirus baharu itu.

“Umpamanya, jangkitan antara manusia kepada manusia berlaku amat pantas, malah faktor cuaca atau iklim mungkin tidak memberi kesan langsung kepada COVID-19,” katanya. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X