Khamis, 19 March 2020 | 4:27pm
Pegawai perubatan menyembur cecair nyah kuman di sebuah masjid di Tasikmalaya, jawa Barat bagi mengekang penularan COVID-19. - Foto ANTARA FOTO via REUTERS
Pegawai perubatan menyembur cecair nyah kuman di sebuah masjid di Tasikmalaya, jawa Barat bagi mengekang penularan COVID-19. - Foto ANTARA FOTO via REUTERS

COVID-19: Masjid di Indonesia teruskan solat Jumaat

JAKARTA: Masjid Istiqlal di sini, akan meneruskan solat Jumaat walaupun amaran mengenai larangan perhimpunan awam bagi membendung penularan COVID-19 sudah dikeluarkan.

Pengurusan masjid berkenaan berkata, ketetapan itu menyusuli keputusan dibuat Majlis Ulama Indonesia (MUI).

"Imam Besar, Nasaruddin Umar mengarahkan solat Jumaat pada minggu ini dilakukan seperti biasa seperti dinyatakan MUI," kata jurucakap masjid itu, Abu Hurairah Abdul Salam, yang dipetik agensi berita ANTARA semalam.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu mungkin berubah jika Imam Besar dan MUI mengeluarkan arahan baharu.

Pengurusan masjid Istiqlal tidak akan menyediakan sejadah bagi membendung penularan COVID-19 di masjid berkenaan tetapi pihak berkuasa sudah menyembur ubat nyah kuman dalam bangunan masjid itu.

kata Abu Hurairah, antara lokasi semburan dengan cecair nyah kuman adalah tempat mengambil wuduk, tandas dan rak penyimpanan al-Quran.

Masjid Istiqlal, yang juga masjid terbesar di Asia Tenggara, akan tetap dibuka bagi mana-mana umat Islam yang ingin beribadah, bagaimanapun mereka akan diarah beredar selepas selesai menunaikan solat.

Pelancong dan jemaah sudah dilarang seketika daripada memasuki masjid, berkuat kuasa sejak Isnin lalu.

MUI sebelum ini mengeluarkan fatwa membenarkan umat Islam dalam daerah yang teruk dijangkiti COVID-19 untuk tidak menunaikan solat Jumaat hingga keadaan kembali seperti biasa.

MUI juga menggesa kerajaan untuk mendedahkan lokasi penularan COVID-19 susulan fatwa berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X