Jumaat, 20 March 2020 | 7:11pm
Umat Islam menunaikan solat Jumaat dengan bertopeng muka di sebuah masjid di Surabaya, Jawa Barat. - Foto AFP
Umat Islam menunaikan solat Jumaat dengan bertopeng muka di sebuah masjid di Surabaya, Jawa Barat. - Foto AFP

COVID-19: Indonesia berbelah bahagi mengenai Solat Jumaat berjemaah

DEPOK: Walaupun bimbangkan pandemik COVID-19, masih ada umat Islam Indonesia memberanikan diri menunaikan solat Jumaat berjemaah hari ini.

Ramai yang akur arahan supaya tidak menghadiri perhimpunan agama termasuk mendirikan solat berjemaah dan hanya bersembahyang di rumah, namun tidak kurang juga yang ke masjid hari ini.

Hujung bulan lalu, kira-kira 16,000 umat Islam dari beberapa negara menghadiri perhimpunan tabligh di Malaysia, yang mana 576 positif COVID-19 termasuk 61 kes di Brunei, 22 di Kemboja dan sekurang-kurangnya 13 warga Indonesia turut terkesan.

Ketika ini, Indonesia secara keseluruhan mencatatkan 309 kes jangkitan dan 25 kematian akibat COVID-19, namun pakar perubatan menjangkakan angka itu akan meningkat.

Bagi kebanyakan umat Islam seperti Aswin Jusar, 76, yang menetap di pekan Depok, selatan Jakarta, mempercayai bahawa Allah akan melindungi mereka.

"Allah akan melindungi umatnya yang taat pada perintah-Nya,” katanya yang tetap menunaikan solat Jumaat di masjid meskipun pemerintah agama sudah fatwa arahan tiada solat berjemaah buat sementara waktu.

Depok merekodkan beberapa kes COVID-19 dan Yunizar, 65 yang bertugas menjaga masjid, juga berfikiran sama seperti Aswin dan menunaikan solat Jumaat seperti biasa.

"Walaupun saya bimbang penularan virus ini, saya tetap mahu menunaikan solat, Masjid juga sudah dilakukan pembersihan lebih rapi dan banyak sabun disediakan untuk kegunaan jemaah," katanya.

DI ibu kota Jakarta, gabenornya sudah mengarahkan semua acara keagamaan ditunda untuk tempoh dua minggu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, juga berpendapat kegiatan keagamaan perlu dihindarkan jika membabitkan ramai orang kerana mungkin mendapat jangkitan disebabkan perhimpunan beramai-ramai.

Masjid terbesar di Asia Tenggara, Masjid Istiqlal di Jakarta, solat Jumaat dibatalkan dengan Imam masjid, Nasaruddin Umar, memetik edaran daripada Majlis Ulama Indonesia yang menekankan kepentingan mengawal jarak sosial.

"Ia menjadikan alasan yang cukup mengapa perlu mengelakkan perhimpunan keagamaan ketika ini," katanya pada sidang media.

Malah, acara himpunan Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi Selatan Khamins ini dibatalkan, meskipun sudah beberapa ribu anggota tabligh sudah tiba di sana.

Seorang jemaah yang kebiasaan bersolat di masjid di Tangerang, di Jakarta Barat, mengakui risau, namun memutuskan untuk menunaikan solat Jumaat berikutan pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang larangan melaksanakan solat itu.

"Saya berdoa supaya Allah melindungi keselamatan saya. tidak tahu sama ada perlu berdiri rapat antara satu sama lain berikutan keadaan di masjid yang ramai orang," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Achmad. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X