Isnin, 23 March 2020 | 1:13pm

Indonesia terima 800,000 kit ujian COVID-19 dari China

JAKARTA: Penghantaran kira-kira 800,000 unit kit ujian COVID-19 oleh kerajaan China selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta, awal pagi tadi.

Pejabat Syarikat Penerbangan Xiamen di Jakarta berkata muatan kargo mengandungi puluhan ribu sarung tangan perubatan dan 17 tan bekalan pencegahan wabak coronavirus selamat tiba awal pagi tadi.

Selepas permintaan daripada kerajaan Indonesia dua hari lalu, Xiamen Airlines berkata pihaknya segera menyelaraskannya dengan jabatan berkaitan di China bagi menyediakan dan menguruskan penghantaran kargo dalam 48 jam.

“Penghantaran terbabit adalah pengangkutan antarabangsa pertama syarikat penerbangan ini selepas berlakunya pandemik COVID-19,” katanya.

Indonesia melaporkan kes jangkitan pertama kira-kira tiga minggu lalu dan setakat ini jumlahnya meningkat kepada 514 kes dengan 48 kematian sehingga semalam.

Jumaat lalu, Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, mengisytiharkan darurat selama dua minggu di ibu negara itu, yang juga pusat penularan wabak COVID-19. - AGENSI

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X