Rabu, 25 March 2020 | 12:27am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19 : 49 kes baharu di Singapura

SINGAPURA: Singapura semalam melaporkan 49 kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 558 kes, menurut Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kementerian Kesihatan, Prof Madya Kenneth Mak.

Pada sidang media pelbagai pasukan petugas bagi COVID-19 di sini semalam, Mak berkata daripada jumlah itu, 32 adalah kes dari luar membabitkan 25 warga Singapura yang kembali ke negara itu.

Beliau berkata sekurang-kurangnya 14 daripada kes itu mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom, dan lima telah ke Amerika Syarikat.

Pasukan Petugas juga mengumumkan beberapa langkah yang lebih tegas untuk meminimumkan penularan wabak COVID-19 di republik itu.

Antaranya, pemegang pas kerja atau tanggungan mereka yang meninggalkan Singapura mulai 27 Mac lalu tidak akan diberi keutamaan untuk mendapatkan kebenaran masuk.

Ini akan menyaksikan penangguhan ketara sebelum mereka dibenarkan kembali ke Singapura jika mereka terus melakukan perjalanan ke luar negara dan kembali terinfeksi, katanya.

Pada masa ini, semua pemegang pas kerja dan tanggungan mereka yang merancang untuk memasuki atau kembali ke Singapura dari mana-mana negara perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Tenaga Manusia sebelum mereka boleh memulakan perjalanan mereka.

Sementara itu, memetik rekod dari Pihak Berkuasa Imigresen, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata masih ada kira-kira 1,000 penduduk Singapura dan pemegang Pas Jangka Panjang yang melakukan perjalanan ke luar negara setiap hari walaupun nasihat perjalanan telah dikeluarkan.

“Individu ini mendedahkan risiko kepada kesihatan rakyat Singapura apabila mereka kembali,” katanya.

Oleh itu, mereka yang meninggalkan republik itu mulai 27 Mac, dengan tidak mengendahkan nasihat perjalanan berkenaan, akan dikenakan bayaran bagi kadar tanpa subsidi semasa menerima rawatan di wad hospital awam, jika mereka dimasukkan ke hospital tersebut kerana disyaki COVID-19 dan mempunyai simptom awal dalam masa 14 hari selepas kembali ke Singapura. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X