Jumaat, 27 March 2020 | 10:14am
Individu yang gagal mematuhi peraturan penjarakan sosial di Singapura bakal berdepan hukuman penjara. - Foto fail Reuters
Individu yang gagal mematuhi peraturan penjarakan sosial di Singapura bakal berdepan hukuman penjara. - Foto fail Reuters

COVID-19: Singapura perkenal undang-undang ketat penjarakan sosial

SINGAPURA: Individu yang gagal mematuhi peraturan penjarakan sosial di republik ini bakal berdepan hukuman penjara.

Ia selepas kerajaan negara itu memutuskan untuk mengenakan undang-undang sedemikian sebagai hukuman terhadap mereka yang ingkar dengan arahan penjarakan sosial untuk mengekang penularan COVID-19.

Langkah negara seberang tambak itu yang menggunakan polis dan kamera keselamatan bagi mengenal pasti pesalah mendapat pujian masyarakat antarabangsa yang melaksanakan segera hukuman sedemikian dalam usaha membendung penyebaran COVID-19.

Memiliki populasi berkepadatan tinggi, Singapura mengumumkan untuk mengetatkan lagi langkah penjarakan sosial dengan menutup bar, mengehadkan perhimpunan hanya untuk 10 orang pada satu masa dan melarang majlis besar-besaran di sekolah.

Di bawah undang-undang penyakit berjangkit yang dikemas kini, sesiapa yang didapati sengaja duduk kurang satu meter antara satu sama lain di kawasan awam atau berdiri kurang satu meter boleh disabitkan kesalahan.

Pesalah boleh disaman sehingga S$10,000 (RM29,981.45) atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Undang-undang yang tertakluk kepada individu atau pemilik perniagaan dilaksanakan sehingga 30 April ini.

Singapura, sebuah negara yang terkenal dengan peraturan ketat antaranya membabitkan kesalahan memberi makan burung sehingga kepada peraturan terhadap individu yang terlupa pam tandas.

Walaupun negara lain seperti Itali, Britain dan New Zealand sudah melaksanakan perintah berkurung, namun tidak bagi Singapura.

Pihak berkuasa Singapura memilih untuk mengambil pendekatan melaksanakan peraturan ketat jika penduduknya ingkar mengambil serius langkah penjarakan sosial.

Setakat ini, Singapura mencatatkan 683 kes positif dan dua kes kematian akibat COVID-19. - Reuters

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X