Sabtu, 28 March 2020 | 10:29pm
ANGGOTA bomba menyembur cecair membasmi kuman di Jakarta. - Foto AFP
ANGGOTA bomba menyembur cecair membasmi kuman di Jakarta. - Foto AFP

COVID-19: Jakarta lanjutkan tempoh darurat

JAKARTA: Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, hari ini mengumumkan tempoh darurat di Jakarta akan dilanjutkan dua minggu lagi berikutan pertambahan kes COVID-19 di negara itu.

Dalam satu sidang video bersama wartawan hari ini, Baswedan berkata pengisytiharan darurat bermula pada 20 Mac dan dilanjutkan sehingga 19 April itu antara langkah bagi memperlahankan penyebaran virus berkenaan.

“Kami sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa saja kemungkinan di sini dan memohon rakyat Jakarta tidak meninggalkan ibu kota, khususnya mereka yang menetap di sini,” katanya.

Semalam, Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia, Mahfud MD, berkata kerajaan mempertimbangkan larangan ‘mudik’ iaitu tradisi jutaan rakyat negara itu pulang ke kampung masing-masing pada penghujung Ramadan.

Setakat hari ini, Indonesia mengesahkan 109 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu kepada 1,115 kes, menurut jurucakap rasmi Kementerian Kesihatan, Achmad Yurianto.

Katanya, angka kematian baharu sebanyak 15 menjadikan jumlah keseluruhan korban COVID-19 di negara itu kepada 102 kes. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X