Sabtu, 11 April 2020 | 9:14pm
Pegawai imigresen Thailand di Pattani mengambil bacaan suhu nelayan Myanmar di jeti. - Foto AFP
Pegawai imigresen Thailand di Pattani mengambil bacaan suhu nelayan Myanmar di jeti. - Foto AFP

COVID-19: Dua lagi kematian di Thailand

BANGKOK: Thailand merekodkan 45 kes baharu COVID-19, termasuk membabitkan lapan warga Thailand yang pulang dari Indonesia dan dua kematian, menjadikan jumlah kes yang disahkan kepada 2,518 dengan 35 kematian setakat ini.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin, berkata dua kematian terbaru itu membabitkan dua lelaki rakyat Thailand, pekerja kedai pajak gadai berusia 46 tahun dan pekerja pembersihan Pentadbiran Metropolitan Bangkok berusia 65 tahun.

“Memandangkan bilangan kes baharu COVID-19 di bawah 100 sejak beberapa hari kebelakangan ini, kita mesti terus berjaga-jaga dan mengekalkan penjarakan sosial untuk memerangi wabak COVID-19 di negara ini,” katanya pada taklimat harian COVID-19, di sini hari ini.

Daripada kes yang disahkan, 1,135 pesakit sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Thaweesilp juga mengulangi seruannya menggesa rakyat di negara itu mengamalkan penjarakan sosial, terutama semasa sambutan tahun baharu tradisional Thailand, Songkran dari 13 hingga 15 April, yang ditangguhkan ke tarikh lain pada tahun ini.

Semalam, Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha menggesa rakyat Thailand tidak mengambil bahagian dalam sebarang sambutan tidak rasmi Songkran. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X