Khamis, 16 April 2020 | 7:26pm
Sebahagian penumpang yang memakai topeng muka pelindung turun dari kapal, di Sungai Chao Phraya semasa wabak penyakit koronavirus (COVID-19), di Bangkok, Thailand.
Sebahagian penumpang yang memakai topeng muka pelindung turun dari kapal, di Sungai Chao Phraya semasa wabak penyakit koronavirus (COVID-19), di Bangkok, Thailand.

COVID-19: Pemandu pelancong rakyat Malaysia antara tiga kematian dilaporkan di Thailand

BANGKOK: Seorang pemandu pelancong warga Malaysia adalah antara tiga kematian akibat COVID-19 di Thailand menjadikan jumlah kematian kumulatif di negara itu 46 orang hari ini.

Lelaki berumur 55 tahun dari Kelantan itu meninggal dunia pada 14 April di sebuah hospital di Bangkok.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin, berkata lelaki berkenaan mempunyai sejarah perjalanan ke Georgia, sebuah negeri di bawah bekas Soviet dari 13-19 Mac dan seorang daripada kumpulan pelancong yang diikutinya itu dijangkiti COVID-19.

Lelaki berkenaan jatuh sakit pada 21 Mac dan mendapatkan rawatan di hospital pada 29 Mac serta kemudian disahkan positif COVID-19.

“Namun keadaan lelaki berkenaan didapati semakin merosot selepas dua minggu,” katanya pada taklimat harian COVID-19 hari ini.

Lelaki berkenaan, yang meninggalkan seorang isteri, dibakar mayatnya di Bangkok semalam. Isterinya juga disahkan positif COVID-19.

Thaweesilp menambah kata, dua lagi kematian yang dicatatkan pada Rabu di Thailand membabitkan seorang wanita tempatan berumur 35 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun dan kedua-duanya mempunyai masalah kesihatan.

Sementara itu, Thaweesilp berkata, Thailand melaporkan 29 kes baharu COVID-19 pada Rabu dan jumlah kes kumulatif ialah 2,672 kes dan sehingga hari ini 1,593 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

"Kini kita melihat orang muda meninggal dunia akibat virus ini iaitu berumur bawah 60 tahun. Mereka mengalami sakit tenat COVID-19 pada Mac dan meninggal bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, perintah berkurung pada waktu malam selama enam jam dari 10 malam hingga 4.00 pagi dilaksanakan sejak 3 April adalah antara penyumbang kepada penurunan kes baharu COVID-19 di negara ini.

“Bagaimanapun, ini bukanlah masa untuk melonggarkan sebarang langkah atau tindakan kerana ia boleh membawa kepada peningkatan jumlah kes baharu.

“Sesetengah negara yang bertindak cepat menamatkan langkah-langkah dan halangan menyaksikan peningkatan kes baharu. Oleh itu, kami akan mengambil langkah-langkah perlu selepas meneliti segala pertimbangan rapi,” katanya dan menambah bahawa CCSA akan menilai keadaan COVID-19 sekali lagi pada akhir bulan ini.

- BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X