Selasa, 21 April 2020 | 3:54pm
Kain rentang mengenai COVID-19 yang digantung oleh penduduk di Jakarta. - Foto AFP
Kain rentang mengenai COVID-19 yang digantung oleh penduduk di Jakarta. - Foto AFP

COVID-19: Indonesia larang balik kampung sambut Hari Raya

JAKARTA: Kerajaan Indonesia melarang rakyatnya pulang ke kampung beramai-ramai menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dari Jakarta dan daerah berisiko yang lain.

Straits Times Singapore melaporkan, Presiden Joko Widodo (Jokowi), melalui perutusannya kepada Mesyuarat Kabinet beberapa hari sebelum bermulanya puasa, berkata keputusan larangan itu dibuat berdasarkan kajian oleh Kementerian Pengangkutan.

Beliau berkata, kajian itu menunjukkan sebilangan besar rakyatnya masih ingin pulang ke kampung halaman secara besar-besaran setiap tahun dikenali sebagai 'mudik'.

"Selepas larangan mudik untuk penjawat awam, anggota tentera, polis dan pekerja syarikat milik negara minggu lalu, dalam pertemuan hari ini, saya ingin menyampaikan larangan mudik untuk semua.

"Oleh itu, persiapan berkaitan dengan (larangan) ini mesti dilaksanakan,” katanya.

Jokowi berkata, kerajaan mengeluarkan langkah bantuan untuk warga yang terkesan oleh wabak seperti bantuan makanan dan wang tunai, bagi meringankan beban rakyat.

Kajian Kementerian Pengangkutan, menunjukkan bahawa 24 peratus responden masih ingin kembali ke kampung halaman menjelang Hari Raya Aidilfitri pada 24-25 Mei depan.

Tinjauan oleh Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) pada akhir bulan Mac, menunjukkan hampir 44 peratus respondennya masih merancang untuk kembali ke kampung halaman walaupun dilarang kerajaan.

Minggu lalu, Persatuan Pengangkutan Indonesia (MTI) lebih kurang 1.3 juta orang di Jakarta dan sekitarnya akan kembali ke kampung halaman mereka.

Model epidemiologi oleh Universiti Indonesia mengunjurkan peningkatan penularan COVID-19 kerana “acara” pulang kampung tahunan, membabitkan berjuta-juta orang di seluruh kepulauan, selain kepulangan rakyat Indonesia yang tinggal dan bekerja di luar negara.

Indonesia melaporkan 185 kes COVID-19 semalam, menjadikan kes jangkitan berjumlah 6,760.

Seramai lapan lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan 590, iaitu yang tertinggi di Asia Tenggara. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X