Khamis, 30 April 2020 | 5:27pm
Anggota polis di Indonesia menyembur cecair pembasmi kuman pada pengguna jalan raya di pos kawalan sempadan antara bandar di Surabaya. - Foto AFP
Anggota polis di Indonesia menyembur cecair pembasmi kuman pada pengguna jalan raya di pos kawalan sempadan antara bandar di Surabaya. - Foto AFP

Balik kampung bawa COVID-19

JAKARTA: Ada dalam kalangan penduduk Indonesia terutama di Jawa, yang mengingkari arahan kerajaan melarang amalan 'mudik' atau pulang ke kampung sempena Ramadan, didapati positif COVID-19 setibanya di kampung.

Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, berkata ada penduduk mengambil risiko dan bergadai nyawa untuk pulang ke kampung masing-masing dengan merentasi beberapa wilayah.

"Daripada laporan dan gambar yang saya diterima, ada penduduk bersembunyi dalam kereta atau menyorok dalam trak di bawah timbunan barangan lain.

"Selain itu, terdapat juga laporan mengatakan ada yang bersembunyi dalam kontena untuk melepasi sekatan pihak berkuasa, namun ini belum disahkan," katanya di Semarang, kelmarin.

Tambah beliau, laporan yang diterima daripada pihak berkuasa Cilacap menunjukkan ada penduduk yang baru tiba di kampung didapati positif COVID-19 apabila menjalani ujian saringan.

"Daripada maklumat yang diperoleh, Ketua Agensi Kesihatan Cilacap, Pramesti Griana Dewi, melaporkan lapan penduduk daerah Cimanggu, yang menaiki satu kenderaan dari Jakarta ke Cilacap, didapati positif virus itu.

"Kesemuanya tidak menunjukkan sebarang gejala COVID-19, namun keputusan selepas kumpulan pesakit ini menjalani 'rapid test' adalah positif dan mereka kini menjadi pesakit di bawah pemantauan (PDP)," katanya.

Seterusnya, tambah beliau, mereka akan menjalani ujian 'polymerase chain reaction' (PCR) bagi memastikan status sebenar kesihatan.

Ganjar menggesa penduduk Jawa Tengah bersikap telus dengan pegawai perubatan sekiranya mereka terpaksa pulang ke rumah dalam keadaan terdesak.

Katanya, penghulu, datuk bandar dan ketua kampung seluruh Jawa Tengah sudah diminta untuk bersiap sedia dengan protokol pemeriksaan kesihatan.

Tempat untuk tujuan kuarantin bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan kepulangan beramai-ramai penduduk dari ibu negara juga sudah disediakan.

Menurut pihak polis Jakarta, bilangan kenderaan meninggalkan ibu negara, Jakarta meningkat sejak dua hari lalu, sebelum penguatkuasaan larangan mudik bermula esok. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X