Jumaat, 1 Mei 2020 | 5:04pm
Suasana sepi di pusat bandar Jakarta berikutan pandemik COVID-19. Kementerian Pengangkutan Indonesia menguatkuasa sekatan perjalanan dari 24 April sehingga 31 Mei ini berikutan larangan balik kampung sempena Aidilfitri. Foto AFP
Suasana sepi di pusat bandar Jakarta berikutan pandemik COVID-19. Kementerian Pengangkutan Indonesia menguatkuasa sekatan perjalanan dari 24 April sehingga 31 Mei ini berikutan larangan balik kampung sempena Aidilfitri. Foto AFP

COVID-19: Tindakan tegas jika penjawat awam Indonesia balik kampung

JAKARTA: Kerajaan Indonesia memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang mengingkari larangan 'mudik' atau balik kampung semasa Ramadan dan untuk menyambut Aidilfitri.

Kerajaan pusat, melalui Kementerian Reformasi Pentadbiran dan Birokrasi, melarang tradisi tahunan itu bagi mengekang penularan COVID-19 sehingga republik itu bebas wabak pandemik.

Sehubungan itu, kementerian terbabit mengeluarkan pekeliling pada 9 April lalu, menetapkan bahawa penjawat awam yang ingkar larangan boleh dikenakan hukuman tatatertib pada tahap biasa sehingga berat.

Kemudian, rekod tatatertib akan dimuat naik menerusi sistem pekerjaan secara dalam talian Agensi Perkhidmatan Awal Kebangsaan (BKN).

"Semua tindakan tatatertib direkodkan, yang kemudiannya akan mempengaruhi pergerakan kerjaya mereka," menurut kementerian itu.

Selain dilarang menyertai 'mudik', penjawat awam juga dilarang sama sekali mengambil cuti ketika pandemik melainkan terdapat perkara mustahak seperti cuti bersalin, cuti sakit atau alasan keluarga seperti kematian ahli keluarga terdekat.

Selepas Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengumumkan larangan mudik pada minggu lalu, Kementerian Pengangkutan membuat pengumuman mengenai sekatan perjalanan berkuatkuasa dari 24 April sehingga 31 Mei ini.

Ia bertujuan menghalang kenderaan persendirian, bas, kereta api, kapal, pesawat sewa atau pun komersial daripada keluar masuk kawasan terkesan dengan COVID-19.

Setakat petang kelmarin, Indonesia merekodkan 9,771 kes positif COVID-19 dengan 784 kematian, menurut data rasmi kerajaan negara itu.

Larangan 'mudik' Aidilfitri dan sekatan sosial berskala besar lain kini dilaksanakan di beberapa wilayah di Indonesia bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Menurut Persatuan Doktor Indonesia, pendekatan itu diharap mungkin dapat menamatkan penularan pandemik COVID-19 pada Jun depan. - AGENSI

Berita Harian X