Isnin, 11 Mei 2020 | 10:19pm

COVID-19: Thailand sahkan enam kes baharu

BANGKOK: Thailand melaporkan enam kes baharu COVID-19 termasuk seorang kanak-kanak berumur enam tahun, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,015 kes.

Tiada kematian dilaporkan dengan jumlah kematian kekal 56.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin, berkata kesemua kes adalah di wilayah-wilayah selatan termasuk kes dari Phuket.

"Kanak-kanak lelaki dari selatan wilayah Narathiwat diuji positif COVID-19 selepas bapanya disahkan dijangkiti virus itu manakala satu lagi kes membabitkan warga Thailand berumur 22 tahun dari Yala yang dikesan daripada pengesanan kes yang dilakukan di wilayah itu," katanya dalam taklimat harian COVID-19 di sini, hari ini.

Daripada 3,015 kes yang dilaporkan di Thailand, seramai 2,796 pesakit telah discaj daripada hospital dan telah pulang ke rumah.

Dalam fasa kedua pelonggaran sekatan, Thaweesilp berkata antara perniagaan dan tempat yang disenaraikan dibuka semula termasuk pusat beli-belah (tidak termasuk teater, boling dan kedai amulet), restoran dan medan selera dalam bangunan serta kedai runcit dan borong.

Selain itu, beliau berkata klinik kecantikan, salun kuku, tempat sukan dan rekreasi termasuk stadium terbuka (pertandingan tertutup dan perlawanan tanpa penonton), muzium, perpustakaan awam dan rumah urut (hanya urut kaki) antara yang disenarai untuk memulakan perniagaan.

"Ia hanya draf dan senarai itu boleh berubah. Kami mendedahkan senarai ini lebih awal bagi membolehkan persediaan dilakukan.

"Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan mesyuarat untuk memuktamadkan perniagaan dan tempat yang akan dibuka kembali pada fasa kedua sekatan pada 15 Mei," katanya.

Pada 3 Mei lalu, Thailand membuka semula enam jenis perniagaan dan tempat dengan menyediakan garis panduan bagi mengelak gelombang kedua COVID-19.

Ia adalah pasar, tempat makan di luar pusat membeli-belah, perniagaan borong dan runcit, taman dan kemudahan sukan luar, kedai gunting rambut dan salun rambut (hanya terhad untuk gunting, syampu dan mengering rambut) serta kedai dandanan dan penginapan haiwan peliharaan.

Thaweesilp berkata, pihak berkuasa berkaitan telah melakukan pemeriksaan menyeluruh di 18,000 premis termasuk restoran dan kafe, salun rambut dan kedai gunting rambut, pasar raya di pusat membeli-belah, taman dan padang golf dan mendapati 449 daripadanya gagal memenuhi garis panduan keselamatan kesihatan. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X