Jumaat, 15 Mei 2020 | 9:14pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

COVID-19: Semua masjid di Singapura kekal ditutup semasa Aidilfitri

SINGAPURA: Semua masjid di Singapura kekal ditutup pada Aidilfitri berikutan sambutan perayaan itu masih dalam tempoh pemutus rantaian bagi memerangi COVID-19.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), kebiasaannya pada pagi Hari Raya, umat Islam di Singapura akan ke masjid bagi menunaikan solat Aidilfitri dan bertakbir serta mendengar khutbah.

Tahun ini, mereka akan menyambut Hari Raya di rumah masing-masing bersama anggota keluarga yang tinggal di rumah yang sama, menurut kenyataan itu.

"Mereka boleh menyertai takbir secara langsung menerusi stesen radio Melayu, Warna 94.2 FM atau secara dalam talian melalui laman Facebook masjid tempatan," menurut kenyataan itu.

Muis berkata, selepas solat Aidilfitri di rumah, Mufti Nazirudin Mohd Nasir, akan memimpin khutbah Hari Raya yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan beberapa saluran dalam talian seperti SalamSG TV.

"Ini adalah kali pertama ia dilakukan dengan cara ini di Singapura," kata kenyataan itu.

Umat ​​Islam di Singapura akan menyambut Aidilfitri pada 24 Mei, iaitu dalam tempoh lapan minggu pelaksanaan pemutus rantaian yang dijadual berakhir pada 1 Jun.

Muis mengingatkan umat Islam supaya mematuhi larangan perhimpunan di tempat awam dan persendirian serta mengelak daripada tradisi kunjung-mengunjung dan berkumpul sempena sambutan Aidilfitri. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X